KUALA LUMPUR: Penubuhan Persatuan Kebajikan Insan Istimewa Jati Diri (PERJATI) yang diasaskan penaung, Datin Seri Noorhidayah Azmi dan rakan artis dapat membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) menikmati kehidupan lebih baik.
Noorhidayah berkata, pandemik COVID-19 menjejaskan kelangsungan hidup pelbagai lapisan masyarakat dan golongan OKU tidak terkecuali daripada menghadapi dugaan itu.
“PERJATI ditubuhkan pada September 2020 selepas saya dipelawa pemilik jenama fesyen Razman Razmi, iaitu Razman Din.
“Kami lihat ramai OKU bekerja sendiri seperti berniaga. Jadi, apabila dunia dilanda pandemik COVID-19, mereka tidak dapat bekerja.
“Bantuan juga lambat diterima. Jadi, apabila Razman tampil menyampaikan keluhan mereka, kami anggap ia menjadi tanggungjawab kami untuk membantu apa yang mampu.
“Kami sangat bersyukur apabila ramai rakan artis turut tampil membantu antaranya Shuib Sepahtu dan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.
“Secara jujur Allahyarham Siti Sarah antara individu yang banyak membantu persatuan ini,” katanya.
Selain itu, rakan artis yang turut murah hati menghulurkan bantuan adalah Ayu Damit, Wawa Zainal, Shuk Sahar dan badan dinaungi Neelofa, Pertubuhan Kasih Neelofa.
Atas sokongan dan bantuan ramai, Noorhidayah bersyukur dapat menolong lebih ramai insan OKU melalui PERJATI yang kini dianggotai 175 ahli, berbanding 50 orang pada awal penubuhan.
“Jika mahu diikutkan, bukan mudah untuk mencari sokongan. Namun, syukur, rakan-rakan artis yang baik dengan Razman senang memberi kerjasama.
“Mungkin hubungan yang dibina itu berlandaskan kepercayaan, jadi mudah untuk mereka turut serta.
“Kesedaran masyarakat juga lebih tinggi. Orang ramai berebut-rebut hendak membantu. Walaupun nampak kecil, bagi kami, setiap bantuan dan sokongan yang dihulurkan, sangat dihargai.
“Ia mampu menceriakan dan membahagiakan golongan OKU,” katanya.

Noorhidayah berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PERJATI mengagihkan bantuan keperluan asas kepada keluarga yang memiliki anak OKU.
Tambahnya, persatuan berharap dapat membantu golongan OKU mendapatkan peluang pekerjaan.
“Sampai bila mereka mahu berharap kepada bantuan. Jadi, kalau boleh, kami mahu beri peluang pekerjaan kepada mereka.
“Kami melatih mereka ilmu kemahiran mungkin menerusi bengkel yang dikendalikan kerajaan seperti kelas memasak, menjahit dan sebagainya.
“Ilmu itu boleh digunakan secara berterusan. Kami juga bantu dari segi memupuk keyakinan supaya mereka lebih ceria dan membina masa depan,” katanya ditemui pada majlis Semarak Kasih Aidilfitri bersama 175 ahli PERJATI di Dewan Komuniti Nury di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, Penasihat PERJATI, Razman berkata, pihaknya dapat melihat perkembangan positif ahli dari awal menyertai sehingga sekarang.
“Kami boleh lihat mereka sudah pandai berdikari dan yakin dengan adanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti ini. Selain beri bantuan, kami juga anjurkan bengkel penjagaan OKU kepada ahli keluarga mereka.
“Kadang-kadang ibu bapa yang mempunyai anak OKU malu untuk keluar. Jadi, kami latih mereka untuk buang sikap itu. Alhamdulillah, kami dapat lihat banyak perkembangan positif selepas lebih setahun PERJATI ditubuhkan,” katanya.
Razman turut meluahkan penghargaan kepada rakan artis yang banyak memberikan sokongan sepanjang PERJATI aktif melaksanakan pelbagai program.
Razman dan Noorhidayah turut merancang untuk mengadakan majlis makan malam amal bagi mencari dana.
Kredit: Berita Harian