KUALA LUMPUR: Sejajar proses transisi negara ke arah fasa peralihan endemik seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, penganjur acara terbuka terutama konsert yang terjejas pendapatan akibat penularan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu, merayu kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) agar kapasiti 50 peratus penonton yang dibenarkan sekarang, dipertingkatkan demi kelangsungan industri kreatif.
Rata-rata penganjur acara termasuk festival, ‘gig’, ‘showcase’ dan persembahan seni lain seperti teater berpendapat usaha mementaskan program di bawah Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan had penonton 50 peratus tidak berbaloi, hingga sukar bagi mereka meraih untung.
Malah, pandangan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri yang baru-baru ini dilaporkan berpendapat tiada keperluan mengehadkan penonton dalam sesebuah acara seperti yang dilaksanakan sekarang, selaras pengumuman negara akan memasuki fasa peralihan endemik, mulai 1 April depan, disambut baik penganjur acara terbuka.
Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, biarpun acara terbuka seperti konsert boleh dianjurkan sekarang, namun, dengan SOP dikenakan, sukar bagi syarikat meraih keuntungan.
“Kami cukup mengalu-alukan penganjuran acara terbuka dengan kapasiti penuh. Untuk mementaskan konsert, kos agak tinggi dan apabila tiada kapasiti penuh, sukar untuk kami menjayakannya.
“Misalnya, Konsert Slam Mentari Muncul Lagi yang kami anjurkan baru-baru ini susah hendak buat duit dengan kapasiti 50 peratus.
“Kos produksi masih sama, kalau dapat diskaun pun hanya antara 10 hingga 15 peratus. Jadi, kami sangat mengalu-alukan pengumuman Kementerian Kesihatan untuk menambah kapasiti penonton.
“Sebelum ini, Perdana Menteri difahamkan mengumumkan acara terbuka sudah boleh dihadiri lebih 50 peratus penonton tetapi masih dengan penjarakan sosial.

“Namun, apa maksudnya? Apakah lebih 50 peratus bermakna 60 peratus atau 90 peratus? Jadi, kami perlukan SOP jelas mengenai perkara ini,” katanya kepada BH Online.
Bersetuju dengan pandangan Nancy, Shirazdeen berkata, rakyat sudah ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dan dos penggalak. Maka, tiada keperluan mewujudkan jarak pada kerusi penonton pada sesebuah acara.
“Kita boleh lihat dalam pesawat, penjarakan tidak dilaksanakan. Jadi, kena adil dan konsisten. Kenapa setiap industri ada SOP berbeza, namun, amalannya tetap sama.
“Selalu kami dianaktirikan… Orang ingat industri kita hanyalah sekadar hiburan, namun, sebaliknya tidak. Ini adalah industri kreatif yang amat diperlukan semua orang.
“Penganjuran acara terbuka adalah suatu ekosistem besar. Perkara ini tidak membabitkan artis sahaja, sebaliknya, lokasi, kru, penyaji makanan atau katering dan pelbagai lagi.
“Ini adalah industri yang besar. Namun, seperti biasa, kita ada stigma bahawa industri ini hanya membabitkan hiburan semata-mata.
“Jika ada hasrat untuk mengembangkan industri kreatif, stigma itu kena buang. Industri kreatif perlu diberi layanan sama rata dengan industri lain,” katanya.
Shirazdeen berkata, biarpun kapasiti penuh dibenarkan, pematuhan SOP perlu seiring. Malah, pihaknya menyokong SOP yang tepat bagi menjamin keselamatan semua pihak.
“SOP tetap perlu ada seperti melakukan ujian saliva sebelum memasuki konsert. Kami sokong SOP seperti itu diteruskan. Seperti Konsert Slam Mentari Muncul Lagi, semua yang hadir perlu menunjukkan keputusan negatif,” katanya.
Shirazdeen berkata, pada mulanya, syarikat menunda semua konsert yang sepatutnya dianjurkan tahun ini kepada tahun depan.
“Namun, apabila Perdana Menteri mengumumkan acara terbuka boleh memuatkan lebih 50 peratus penonton, kami mula merancang semula konsert untuk tahun ini.
“Seperti contoh, untuk tahun 2020, kami ada 30 acara yang mahu dianjurkan, namun, terpaksa dibatalkan atau ditunda,” katanya.

Melontarkan pandangan sama, penganjur acara dari Syarikat Imaginex, Amir Shah Daud berkata, pihaknya berharap kerajaan mengumumkan kebenaran menganjurkan konsert berskala besar.
“Harga sewa lokasi masih sama. Jadi, apabila mengehadkan kapasiti penonton menjadi 50 peratus, bagaimana kami mahu mendapatkan keuntungan.
“Mahu atau tidak, kami kena cari makan dengan menganjurkan acara. Salah satunya dengan menganjurkan majlis makan malam.
“Tetapi apabila kami menganjurkan majlis makan malam, tiket perlu dijual lebih mahal. Apabila mahal, ia jadi kekangan kepada ramai peminat yang tidak berkemampuan.
“Jika kerajaan benarkan kapasiti penuh, secara tak langsung, harga tiket boleh jadi seperti dahulu iaitu pada kadar harga mampu milik,” katanya.
Selepas dua tahun tidak menganjurkan konsert, Syarikat Imaginex akan menganjurkan konsert dalam format majlis makan malam, A Night To Remember yang menampilkan Datuk Jamal Abdillah dan Zamani di ibu negara, Sabtu ini.
Namun, Amir meluahkan kebimbangan melihat peningkatan kes jangkitan COVID-19 seolah-olah memberi gambaran masih jauh perjalanan untuk semua penggerak industri kreatif terutama penganjur konsert meneruskan aktiviti seperti sedia kala.
“Ramai ahli korporat mahu hadir tetapi tidak berani ambil risiko. Ini kerana mereka orang penting. Jadi, risau jika dijangkiti, ia memberi kesan kepada kerja.
“Jadi, saya tidak menafikan impak besar kepada saya. Risau bukan hanya kepada penonton terkena jangkitan, malah artis dan pemuzik juga,” katanya.
Sementara itu, Mubarak Akhtar dari HS Shazlicious Trading mengaku tidak berani menanggung risiko kerugian dengan mengadakan konsert berskala besar.
“Namun, jika kerajaan mula membenarkan kapasiti penuh, kami sangat bersyukur. Dengan itu, kami boleh merancang konsert besar selepas ini. Namun, setakat ini, saya banyak menganjurkan persembahan majlis makan malam seperti bersama Datuk Awie.
“Kali terakhir saya anjurkan konsert berskala besar pada 14 Februari 2020 melalui Konsert Romantika Awie, sebulan sebelum pandemik bermula,” katanya.
Mubarak berkata, syarikat akan menganjurkan konsert jika pulangan diterima melalui jualan tiket berbaloi dengan modal dilaburkan.
“Contohnya, anjur acara di Istana Budaya (IB) boleh memuatkan 1,400 penonton. Tetapi sekarang penonton yang boleh masuk hanya satu pertiga, iaitu sebanyak 500 orang.
“Kalau 500 orang, berapa harga tiket yang perlu dikenakan untuk pulang modal? Siapa yang hendak pergi kalau harga tiket mahal? Apatah lagi sekarang ramai yang sedang berhadapan masalah ekonomi.
“Jadi, kami mohon kerajaan lihat situasi kami sebagai penganjur. Apabila kami tidak boleh menganjurkan acara, artis pun tiada ‘show’. Bukan artis sahaja, ramai yang tak boleh cari makan.
“Apabila ada acara, pekerja belakang tabir seperti kru teknikal, katering dan beratus lagi pekerja boleh menjana pendapatan,” katanya.
Kredit: Berita Harian