KUALA LUMPUR: Lebih sedekad menghilang dan terbaru dihambat gosip krisis rumah tangga, juara musim pertama program realiti terbitan TV3, Mentor, iaitu Pija Yasin kembali dengan semangat baharu.
Sebelum ini, Pija atau nama sebenar, Norafizah Mohd Yasin memberi tumpuan kepada rumah tangga selepas berkahwin dengan Datu Anwar Datu Amir Kahar pada 2014 dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Berbekal keazaman tinggi, Pija yang mengatur strategi kembali aktif, dikurnia rezeki terpilih mewakili negara pada World Championship of Performing Arts (WCOPA) di California, Amerika Syarikat (AS), Julai depan.
Mendapatkan perkembangan terbaharu dirinya, Pija memberitahu, dia sedang berusaha mengumpul dana dan tajaan bagi membiayai kos pemergiannya ke AS sebanyak RM25,000.
“Sebaik terpilih, saya terima bantuan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebanyak RM5,000.
“Baru-baru ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga memberi sumbangan RM5,000.
“Jadi, saya sudah kumpul RM10,000,” katanya yang turut mencari dana untuk adiknya, Rizwan Yasin atau Juicy yang juga terpilih mewakili negara di WCOPA.
Pija berkata, dia perlu menjelaskan bayaran pendahuluan untuk berangkat ke AS menjelang akhir bulan ini.
“Susah hendak cari dana dan tajaan. Kadang-kadang terfikir di mana kementerian, persatuan atau badan berkaitan dengan golongan seni ketika artis memerlukan bantuan.
“Namun, saya tidak putus harap dan berdoa. Saya ada menghantar surat rasmi memohon dana dan tajaan kepada beberapa kementerian.

“Mungkin kalau tidak dapat bantuan, kena korek tabung guna duit sendiri. Tetapi tabungan yang ada bukanlah banyak,” katanya.
Bercerita mengenai WCOPA, Pija berkata, dia bakal bersaing dalam kategori vokal senior di bawah tiga genre muzik iaitu Broadway, jazz dan R&B soul.
“Insya-Allah, saya bercadang merakam single baharu selepas tamat pertandingan itu,” katanya yang kali terakhir muncul dengan single ciptaan Awi Rafael ketika menganggotai kumpulan Girl Republik pada 2014.
Pija menganggap 2022 adalah tahun terbaik untuk dirinya aktif semula dalam bidang seni.
“Dari dulu lagi saya mahu aktif. Namun, sekarang adalah masa yang tepat kerana anak-anak sudah besar dan boleh bawa diri,” katanya.
Mengenai kehidupan peribadi, Pija tidak mampu menyembunyikan kisah rumah tangga yang dikatakan bagai retak menanti belah.
“Namun, apa puncanya, biarlah saya simpan sendiri. Sekarang tiga anak tinggal dengan bapa mereka dan keluarga mentua di Kota Kinabalu, Sabah.
“Memang agak rumit hal saya dan suami. Selama ini, saya tak pernah menyesal menumpukan perhatian kepada rumah tangga dan anak hingga melupakan minat menyanyi.
“Jika diikutkan di Sabah, saya masih menyanyi. Bagaimanapun, keputusan untuk ‘come back’ ini ada asbab tersendiri,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Kredit: Berita Harian