KUALA LUMPUR: Pelakon, Beto Kusyairy, 41, mengesahkan rakan baiknya, Azhan Rani, 45, ditimpa kemalangan di Jalan Templer, Rawang, Selangor, tengah hari, semalam.
Beto berkata, kemalangan berlaku ketika Azhan dalam perjalanan ke lokasi penggambaran.
“Iya, Azhan yang menaiki motosikal, berlanggar dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Templer. Disebabkan itu, apa yang dimaklumkan melalui ujian imbasan x-ray, tulang belikat sebelah kirinya pecah.
“Selain itu, tulang bahu dan tiga tulang rusuk Azhan retak. Dia masih di hospital dan menunggu keputusan ujian imbasan tomografi berkomputer atau CT Scan.
“Prosedur ini diambil untuk mengenal pasti ada tulang yang pecah tertusuk di mana-mana atau kecederaan lain dan keadaan paru-parunya.
“Mudah-mudahan, tiada apa-apalah… Insya-Allah,” katanya kepada BH Online.
Beto berkata, dia dihubungi pengurus produksi memberitahu mengenai kemalangan jalan raya menimpa Azhan, semalam.
“Pengurus produksi beritahu Azhan mahu berita dia ditimpa kemalangan disampaikan kepada saya. Jadi, saya bergegas ke Hospital Selayang untuk melihat keadaannya,” katanya sambil menambah Azhan sudah meninggalkan Hospital Selayang dan mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di ibu negara.
Beto berharap orang ramai faham keadaan Azhan yang tidak mahu menjawab panggilan telefon.
“Dia tak boleh hendak jawab telefon atau balas mesej. Saya pun tak benarkan dia buat begitu. Jadi, apa-apa boleh tanya kepada saya buat sementara waktu ini.
“Sama-sama kita doakan agar Azhan segera sembuh dan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.
Kredit: Berita Harian