KUALA LUMPUR: Selama 14 bulan menerajui Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) selaku presiden, Datuk Tumiran Mohd Kasdi akhirnya meletakkan jawatan secara rasmi pada 15 November lalu.
Mengesahkan perkara itu, Tumiran mendakwa, peletakan jawatan dibuat susulan kekecewaan terhadap sikap sesetengah ahli PKAVM yang sesuka hati melemparkan fitnah dan tohmahan terhadapnya.
“Saya mula dengar suara sumbang mempersoalkan kredibiliti saya dalam menerajui PKAVM selepas beberapa bulan selepas dilantik sebagai presiden.
“Kononnya saya tidak pandai buat kerja dan lebih mengecewakan, ada pula segelintir ahli PKAVM menuduh saya pilih kasih dari segi mengagihkan bantuan sepanjang era pandemik.
“Saya bukan pilih kasih, tetapi pengagihan bantuan diberi mengikut keutamaan ahli PKAVM yang lebih memerlukan. Sebelum ini, saya cuba memekakkan telinga dan buat kerja sahaja.
“Namun, fitnah nampaknya berterusan. Jujurnya, saya tidak mampu bersabar lagi, apatah lagi penat jerih dan usaha membantu ahli PKAVM yang berdepan kegetiran hidup ketika pandemik langsung tidak dihargai,” katanya kepada BH Online.
Tumiran berkata, dia nekad mengundurkan diri dan secara rasmi meletakkan jawatan pada 15 November lalu, diikuti beberapa ahli jawatankuasa tertinggi lain.
Meluahkan kekesalan terhadap atas apa yang berlaku, Tumiran tidak menyangka segala usaha dilakukannya selama ini mendapat pembalasan buruk.
“Sepanjang menerajui PKAVM, saya cuba memberikan yang terbaik kepada ahli. Saya bantu sekadar mampu dengan mencari penaja dan ada masa menebalkan muka meminta pertolongan rakan bagi membantu ahli PKAVM yang terkesan akibat COVID-19.
“Ada juga ahli PKAVM meminta bantuan secara peribadi, namun saya tetap melayan permintaan mereka. Saya seronok melakukan kerja amal kebajikan seperti ini.
“Tetapi, apabila ada pihak yang masih tidak berpuas hati, terus memfitnah dan mengecam saya, situasi inilah yang menyebabkan saya tawar hati menerajui PKAVM.
“Pada usia sekarang, saya memerlukan ketenangan dan tidak mahu terbabit dengan situasi memeningkan kepala. Jadi, saya percaya melepaskan jawatan ini adalah langkah terbaik,” luahnya.

Meskipun terkilan dengan nasib menimpa dirinya, Tumiran berkata, tiada sekelumit rasa serik untuk terus menabur bakti kepada artis veteran yang memerlukan.
“Ramai ahli PKAVM bersimpati dengan nasib saya. Mereka menasihatkan saya bersabar dan jangan mudah patah semangat.
“Saya memang tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku pada PKAVM selepas ini. Mungkin saya akan menubuhkan kelab kebajikan artis veteran baharu yang fungsinya masih sama iaitu membantu golongan ini.
“Bagi saya, mahu membantu orang tidak semestinya kena ada jawatan. Saya bersyukur hasrat mendapat restu ramai artis veteran yang menunjukkan minat untuk menyertai kelab ini,” ujarnya.
Untuk rekod, Tumiran dipilih sebagai presiden pada Mesyuarat Agung PKAVM Ke-11 pada September 2020 menewaskan penyandang, Rahim Jailani.
Berikutan peletakan jawatan Tumiran dan beberapa AJK, PKAVM akan mengadakan mesyuarat agung, esok (Sabtu) untuk melantik pengurusan baharu persatuan itu.
Kredit: Berita Harian