KUALA LUMPUR: Busana serba hitam digayakan penyanyi, Aina Abdul pada segmen karpet merah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, malam tadi, menjadi topik hangat netizen.

Gaya ‘avant-garde’ termasuk lilitan bunga pada kepala, pantas menjadi sohor dalam media sosial, tidak lama selepas Aina melangkah ke karpet merah.

Aina berkata, busana rekaan pereka Behati itu adalah simbolik kepada bunga mawar yang digunakan dalam single baharunya berjudul Aina Abdul.

“Sebenarnya, konsep busana ini adalah kesinambungan daripada single baharu diberi judul Aina Abdul yang menggabungkan tiga lagu iaitu Sumpah, Semalam dan Sepi.

“Busana ini mengambil inspirasi daripada bunga mawar yang dipaparkan dalam muzik video single berkenaan.

“Saya sudah lama ingin mengetengahkan fesyen begini dan berkesempatan merealisasikan impian.

Busana hitam rekaan Behati yang digayakan Aina pada segmen karpet merah ABPBH 34 pantas viral, malam tadi. Foto NSTP/Zaidi Mohamad
Busana hitam rekaan Behati yang digayakan Aina pada segmen karpet merah ABPBH 34 pantas viral, malam tadi. Foto NSTP/Zaidi Mohamad

“Mengenai kritikan orang terhadap fesyen saya, sejujurnya, saya kurang membaca kritikan. Mungkin sebab itu saya boleh terus bertahan, itu adalah salah satu ‘resepi’ yang sering saya amalkan,” katanya.

Pada ABPBH 34, Aina dan pasangan duet, Khai Bahar mengungguli kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular menerusi lagu Nafas Cinta.

Menurut Aina, dia tidak sedar busana hitam itu tular dalam media sosial, malam tadi.

Tambah Aina, dalam menata gaya, dia lebih mengikut naluri. Andai merasakan kata hatinya betul, Aina tidak teragak-agak melakukan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran.

“Saya tidak kisah dikritik. Bagi saya, kritikan yang tidak baik juga adalah publisiti buat saya,” katanya yang membuat persembahan mendendangkan lagu Sumpah dan Semalam versi rock diiringi petikan gitar Man Kidal, malam tadi.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *