KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Deepavali pada 4 November ini, sebanyak 11 program khas dan telefilem bakal mengisi beberapa slot di TV2 selama tiga hari bermula esok.
Ia merangkumi lima telefilem, Kannadi Manasu, Laddu, Bayam Ore Nagaichuvai, Ore Varthey dan En Iniya Ponnivlave, manakala program hiburan turut tidak ketinggalan seperti Deepa Oli (UHTV) dan Pertandingan Akhir Bintang Minnal@RTM 2020.
Selain itu, filem cereka Tamil/Malayalam, Lakshmi dan Kumbalangi Nights dan drama pendek, Vazhi serta filem Hollywood, King Arthur: Legend Of The Sword turut ditayangkan.
Konsert Khas Deepavali, Deepa Oli yang akan menemui penonton pada Rabu, jam 9 malam berkonsepkan ‘variety show’ mengangkat stesen radio, Minnal FM sebagai penghubung utama program itu.
Konti stesen Minnal FM akan menjadi tunjang kepada interaksi artis, manakala persembahan lagu akan dirakam di Auditorium Perdana.
Program Deepa Oli menggabungkan artis dan personaliti popular berbangsa India. mengangkat Minnal FM. Rancangan berdurasi 90 minit ini adalah program khas sempena Deepavali yang melambangkan semangat muhibah dan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia.
Antara artis yang menjayakan konsert termasuklah Santesh, Rabbit Mac, Gayathri, Hashmita, Ifon, Sabesh Manmathan, Reena Nicky, Piraveen (juara Bintang Minnal) dan Darkey.
Telefilem Kannadi Manasu akan menemui penonton pada Rabu ini. Ia mengisahkan percintaan pesakit Obessive Compulsory Disorder (OCD) yang mengalami gangguan mental, Anand jatuh cinta dengan kakitangan pejabatnya, Priya.
Anand mengalami penyakit OCD sejak kecil yang diwarisi daripada ibunya. Mereka sentiasa mengutamakan kebersihan di tempat kerja mahupun rumah.
Pada suatu hari, bapa Priya, Venugopal yang tinggal di kampung pergi ke bandar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital, seterusnya ke rumah Priya.
Anand berpeluang bertemu Venugopal dan semasa mereka sedang minuman, tiba-tiba Venugopal jatuh dan pengsan. Anand dan Priya membawa Venugopal ke hospital. Dalam perjalanan ke hospital, Venugopal termuntah dalam kereta dan menjadikan Anand marah dan meninggalkan Priya dan bapanya di tepi jalan.
Sejak insiden itu, Priya memutuskan perhubungan dengan Anand dan pulang ke kampung bersama bapanya. Namun, keluarga Priya dan ibu Anand berjaya menyatukan mereka kembali. Ia dibintangi Perakash, Logan, Sanggeetha, Kavitha dan Kubendra.
Telefilem Laddu yang menemui penonton pada Khamis, jam 8 pagi mengisahkan mengenai Jia Meng, Abu dan Hemaruben yang cuba menunaikan hasrat Jeeshnavi selepas mengetahui rakannya itu menghidap kanser tahap akhir.
Mereka bersahabat baik sejak kecil, tetapi terpisah selepas Jeeshnavi berpindah ke Australia. Akhirnya, mereka dapat menunaikan hasrat Jeeshnavi mahu menyambut Deepavali bersama dengan gembira. Ia dibintangi Nawinia Murali, Saharudin Jamaludin dan Muhamad Danil.

Filem cereka Tamil, Lakshmi yang bersiaran pada Khamis, jam 9 pagi mengisahkan kanak-kanak perempuan yang sangat meminati dunia tarian dan ingin menyertai pertandingan, tetapi ibunya menjadi penghalang.
Tanpa pengetahuan ibunya dan dengan bantuan pemilik restoran, Vijay Krishna berjaya menyertai kumpulan penari Chennai Spring Boots. Ia dibarisi Prabhu Deva, Ditya Bhande dan Aishwarya Rajesh.
Pertandingan akhir Bintang Minnal@RTM 2020 akan bersiaran pada Khamis, jam 11.30 malam. Ia adalah usaha murni RTM melalui stesen radio Minnal FM melahirkan lebih ramai bakat penyanyi tempatan dan bintang berkualiti.
Pentas akhir ini menyaksikan lapan peserta bertanding mendendangkan lagu dalam bahasa Tamil dan bahasa Malaysia. Tentunya ia menguji tahap ketahanan vokal setiap peserta yang akan menjadi kayu pengukur kepada kehebatan artis kelahiran RTM sebelum ini.
Turut diundang, Khai Bahar, Wany Hasrita, Shantesh, Neeta dan Hasmita Selvam.
Selain itu, TV2 juga akan menghidangkan drama pendek, Vazhi pada Jumaat, jam 1 pagi. Ia mengisahkan suami yang mengajar isteri memandu kereta di sebuah padang bola.
Siva terpaksa mengajar Kamini memandu kerana tidak dapat pulang ke kampung atas urusan kerja sempena Deepavali. Siva tertekan apabila Kamini sering mempersoalkan cara ajarannya.
Berlaku pelbagai aksi lucu antara suami isteri. Akhirnya, Kamini berjaya membawa kereta dengan cemerlang, walaupun Siva cedera dan perlu dikejarkan ke hospital. Drama pendek ini dibintangi Aghondera dan Ratna Gowri.
Telefilem Ore Varthey mengisahkan perpisahan ibu bapa yang memberi impak terhadap anak akibat tidak mendapat kasih sayang dan perhatian sepenuhnya. Ia menyebabkan anak memilih hala tuju hidup yang salah.
Menemui penonton pada Jumaat, jam 8 pagi, telefilem itu dibarisi Kishok, Puspha Narayan, Kaamesha Ravindran, K Prakash dan Irfan Zaini.
Telefilem En Iniya PonnilaveIa mengisahkan gadis bernama Pungguzhali berusaha mencari wanita pertama dicintai oleh datuknya, Govinthasamy yang mempunyai nama sama dengannya.
Secara kebetulan, wanita itu adalah nenek kepada Roshan, rakan sekolah yang selalu membulinya. Pungguzhali berhasrat bekerjasama dengan Roshan untuk menjemput neneknya ke rumah untuk berbual dengan Govinthasamy sempena Deepavali. Jadi, apakah kesudahannya, saksikan telefilem En Iniya Ponnilave pada Jumaat, jam 3 petang.
Filem cereka, Kumbalangi Nights akan menemui penonton pada Jumaat jam 9 malam. Filem ini mengisahkan empat adik beradik, Saji, Bonny, Bobby dan Franky yang ditinggalkan oleh ibu selepas ketiadaan bapa.
Empat pemuda ini terpaksa meredah pelbagai cabaran dan dugaan dalam kehidupan seharian. Mereka sentiasa dipandang rendah oleh penduduk sekeliling. Ia dibintangi Fahadh Faasil, Shane Nigam dan Soubin Shahir.
Kredit: Berita Harian