KUALA LUMPUR: Pertemuan secara tidak sengaja antara ahli kumpulan Kopratasa, Siso dan penulis lirik, Alim Gutrah dalam konsert mini amal mencetuskan idea untuk menjalinkan kerjasama, tahun lalu.
Pada majlis amal untuk mengutip dana kepada Pertubuhan Kebajikan Pondok Motivasi selepas tiga bulan tidak beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu, Siso menerima lamaran Alim memberikan nafas baharu kepada melodi dan gubahan muzik lagu puisinya berjudul Alif.
Lebih istimewa, Siso turut menawarkan diri menyanyikan single berkenaan memandangkan sudah lama tidak tampil dengan karya secara solo.
“Ini bukan kemunculan solo, hanya single sahaja. Single Alif sudah hampir dua tahun tertangguh proses rakaman.
“Lirik single ini ditulis Alim yang juga lulusan Universiti Al-Azhar di Mesir. Lirik berbentuk ketuhanan ini sangat mendalam maknanya.
“Saya menghayati seperti menghayati lagu puisi ketuhanan yang lain. Nyanyi pun lebih kepada melontar maksud nak disampaikan, bukan gaya nyanyi berlebihan,” katanya kepada BH Online.
Siso yang sudah menulis hampir 500 lagu dan pernah dilantik sebagai Pakar Industri Muzik oleh Jabatan Kemahiran Negara Malaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia berkata, dia tidak ada masalah berkolaborasi dengan karyawan muda.
“Bagi saya, siapa sahaja boleh menulis dengan baik. Selepas meneliti lirik dan membuat sedikit olahan, saya bersetuju mencipta dan menyanyikan single Alif ini.
“Single ini mempunyai makna tersendiri iaitu mengingatkan kita kepada kewajipan di muka bumi. Sebagai penulis lirik, penyanyi, ayah, suami dan manusia, kita perlu ada peranan sebagai khalifah kecil semasa hidup.
“Saya berharap single Alif dapat memberi makna tersendiri kepada penggiat seni dan pendengar,” katanya.
Penulis lirik lagu runut bunyi filem Rozanna Cinta 87 itu berkata, dia juga berharap single Alif memberi sumbu baharu kepada Kopratasa untuk kembali berbisa pada masa akan datang
“Walaupun muncul secara solo dengan single Alif, tetapi bayangan Kopratasa tetap melekat. Saya anggap ini semangat untuk Kopratasa muncul dengan single atau album baharu, insya-Allah.
“Saya sudah masuk kategori veteran. Rakaman vokal dan proses rakaman video muzik dikendalikan oleh bekas pelajar. Tentunya, ada kelainan dari segi teknologi dan pendekatannya.
“Namun, ia tidak menyukarkan kerana saya hormati usaha mereka bagi menjayakan kemunculan single Alif ini,” katanya.
Sementara itu, Alim berkata, pemilihan Siso mendendangkan single Alif dianggap tepat dengan perjuangannya mengangkat lagu-lagu puisi.

Mendedahkan penghasilan lirik single Alif, Alim berkata, ia dihasilkan dalam tempoh lima minit.
“Selepas membaca kitab tafsir Al-Azhar tulisan Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali Buya Hamka, saya terus mendapat inspirasi dari kehebatannya dalam melayarkan kedalaman tafsiran ayat 1-5 daripada surah al-Baqarah, lalu timbul ilham untuk menulis lirik single Alif.
“Single Alif dimulakan dengan 10 baris puisi yang penuh inti dan makna. Ia memaparkan ketinggian seni budaya yang masih memagarkan bacaan puisi dalam lagu,” kata Alim.
Alim berkata, pada awalnya, judul Khalifah Insani dipilih untuk lagu gubahan Hamzan Hassan daripada Dominant Studio Sdn Bhd itu.
Namun, katanya, dia mendapat ilham menukar judul lagu selepas melihat huruf ‘alif’ di ruangan tengah perkataan khalifah.
“Jati diri orang Melayu terletak pada kekuatan dalam pegangan kepada ilmu tauhid. Ibarat alif yang satu, berdiri tegak dan tidak sesekali condong ke kanan atau kiri.
“Sifat wajib ada dalam diri seorang pemimpin yang berjiwa Melayu dan Islam. Jangan sesekali rebah dengan tiga ‘ta’ iaitu takhta, harta dan wanita,” katanya.
Di atas minatnya terhadap lagu bersifat ketuhanan yang dibawa sifu, Datuk M Nasir, Alim berkata, dia memasang cita-cita agar single Alif dapat didendangkan, seterusnya berada di bawah syarikat rakaman, Luncai Emas Sdn Bhd.
“Hasrat ini tercapai apabila Luncai Emas akhirnya bertindak selaku penerbit turut mengambil peluang sempena bulan kemerdekaan selari dengan pengertian dan mesej dalam single Alif untuk melancarkan video muzik di saluran YouTube syarikat ini, sejak 13 Ogos lalu,” katanya.
Video muzik Alif mempunyai banyak falsafah untuk dirungkaikan. Ia memaparkan guru dan murid sedang mengaji al-Quran. Kitab al-Quran disanjung tinggi dan menjadi panduan dalam kehidupan seharian.
Ia turut menyaksikan penampilan khas, Azmi Zanall Abedeen yang juga bekas pelajar seni tari daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebagai penari silat.
Audio rasmi single Alif dimuat naik ke semua platform digital sejak 20 Ogos lalu. Luncai Emas bertindak pengedar single ini secara jualan digital di platform streaming, YouTube dan iTunes.
Kredit: Berita Harian