KUALA LUMPUR: Pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, ‘mati kutu’ memikirkan nasib hidupnya apabila duit simpanan semakin susut berikutan tiada undangan persembahan sepanjang pandemik COVID-19.

Lebih merunsingkan apabila perlu melunaskan bayaran sewa rumah yang tinggi, setiap bulan, sedangkan hilang punca pendapatan, sejak lebih setahun lalu.

Lalu, Fendy yang juga bapa tunggal dalam golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tergerak hati memuat naik video memohon perhatian kerajaan bagi memudahkannya mendapat kelulusan rumah mampu milik atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam laman sosial, semalam.

Penderitaan hidup Fendy mendapat perhatian beberapa kementerian termasuklah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang mengunjunginya dan anak, Nurazalea Zafirah, 6, di kediamannya di Taman Datuk Senu, Sentul, pagi ini.DISYORKAN UNTUK ANDA

“Saya memuat naik video dengan harapan kerajaan atau kementerian berkaitan boleh memudahkan urusan meluluskan permohonan rumah sama ada menyewa atau sewa beli.

“Jujurnya, saya tidak sangka Rina, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan wakil

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Anuar Musa sudi menjenguk saya serta anak di teratak kami.

“Mereka turut menghulurkan sumbangan wang ringgit dan makanan. Paling terharu, memberi jaminan untuk memudahkan permohonan mendapatkan rumah.

“Saya pernah memohon mendapatkan rumah mampu milik pada 2017. Namun, hingga hari ini tidak mendapat jawapan,” katanya kepada BH Online ketika ditemui di kediamannya di Sentul.

Fendy berkata, kehidupannya kini sekadar cukup makan dan pakai sahaja. Bagaimanapun, rezeki makanan hadir tanpa diduga, setiap hari.

“Saya belum tergerak mahu mengibarkan bendera putih kerana masih ada makanan di rumah. Apa yang saya risaukan mengenai soal rumah.

“Duit simpanan pun semakin susut. Saya terputus punca pencarian apabila tiada undangan persembahan sejak pandemik COVID-19, tahun lalu.

“Kali terakhir, saya dan Caliph Buskers menerima undangan persembahan pada November, dua tahun lalu. Ini kerana pandemik menyerang seluruh dunia sejak penghujung 2019,” katanya.

Bagaimanapun, Fendy berkata, dia sempat diundang mengadakan persembahan pada Februari, tahun lalu pada awal pandemik.

“Ikut perkiraan duit simpanan, saya hanya mampu bayar duit sewa rumah untuk bulan depan sahaja. Selepas ini, saya tidak tahu bagaimana mahu membayangkan apa yang akan terjadi,” katanya.

Tambah Fendy, dia kini menyewa di apartmen di Sentul dengan sewa RM1,300 setiap bulan.

“Bekas isteri turut menyewa di blok dan apartmen yang sama, namun pada tingkat yang berbeza. Kami saling bergilir-gilir menjaga Nurazalea.

“Sebelum ini, saya menyewa bersama rakan di Bangsar, manakala bekas isteri di Brickfields. Anak pula harus berulang-alik ke sekolah pendidikan golongan istimewa, GENIUS Kurnia di Sentul.

“Saya dan bekas isteri sepakat berpindah ke Sentul selepas mempertimbangkan banyak perkara termasuk kos harian. Ini bagi memudahkan urusan persekolahan Nurazalea dan kami tidak perlu berulang-alik dengan jarak jauh, setiap hari.

“Bagaimanapun, keadaan pula berbeza sekarang jika saya terus menyewa di Sentul dengan sewa yang mahal. Sebab itulah, saya berharap permohonan rumah PPR atau kediaman mampu milik dapat diluluskan,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyerahkan sumbangan kepada anggota Caliph Buskers, Fendy Adlun di kediamannya di  di Taman Datuk Senu, Sentul, hari ini. - NSTP/Zaidi Mohamad
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyerahkan sumbangan kepada anggota Caliph Buskers, Fendy Adlun di kediamannya di di Taman Datuk Senu, Sentul, hari ini. – NSTP/Zaidi Mohamad

Demi meneruskan survival hidup, Fendy berkata, dia terpaksa menjual dua set dram dan alatan muziknya.

“Saya memperoleh RM3,000 hasil jualan dua set dram, jadi adalah pulangan. Seperti dikatakan, soal makan saya tiada masalah. Saya makan dalam serba ringkas, mi segera pun saya boleh layan berhari-hari.

“Cuma, apabila giliran Nurazalea berada di rumah, saya perlu menyediakan makanan untuknya. Kadang kala Nurazalea nak makan itu dan ini, terutama makanan kesukaannya, roti canai. Jadi, terpaksa saya buat tempahan menerusi aplikasi penghantaran makanan.

“Saya enggan berpeluk tubuh dan meminta-minta. Jadi, saya manfaatkan bakat muzik yang ada. Jika celik mata, saya boleh melakukan pelbagai kerja demi meneruskan kelangsungan hidup pada era pandemik ini. Tetapi, apakan daya, saya adalah OKU,” katanya.

Fendy berkata, dia mula mengambil inisiatif melakukan persembahan secara langsung di laman Facebook menerusi Fendy FCaliph Buskers, setiap Sabtu, jam 9 malam, sejak sebulan lalu.

“Saya sertakan nombor akaun bank untuk peminat yang mahu menyumbang ketika menonton persembahan saya. Alhamdulillah, adalah serba sedikit rezeki diperoleh.

“Namun, sejak deman bola EURO 2020, sambutan diterima agak perlahan disebabkan ramai menonton perlawanan bola sepak,” katanya.

Sementara itu, Rina berharap, permohonan Fendy mendapatkan rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang pernah dimohon diuruskan dalam segera.

“Saya beri jaminan urusannya mendapatkan rumah mampu milik atau PPR akan disegerakan DBKL. Malah, saya juga membawa pegawai DBKL bagi memproses dan mempercepatkan permohonan Fendy.

“Selebihnya, kena tunggu kelulusan DBKL. Dalam masa yang sama, saya akan meminta bantuan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk membantu Fendy,” katanya.

Dalam kunjungannya, Rina turut menyerahkan bantuan bakul makanan, pek Ready To Eat dan menyerahkan wang tunai sumbangan Yayasan Kebajikan Negara dan Tabung Bantuan Segera (TBS) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rina berkata, Fendy juga akan menerima elaun RM500 selama tiga bulan berturut-turut.

“Elaun di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) diberikan kepada golongan OKU yang hilang punca pendapatan, tiada kerja, dibayar gaji separuh atau diarahkan bercuti tanpa gaji.

“Sebelum ini, Fendy adalah penerima Elaun Pekerja OKU di bawah JKM. Namun, pendapatan diperoleh melebihi daripada sepatutnya, jadi tidak dapat bantuan secara berterusan dan dihentikan sejak 2019.

“Oleh itu, Fendy layak menerima elaun RM500 selama tiga bulan. Saya juga akan meminta sukarelawan memantau keadaan Fendy dan anaknya,” katanya.

Rina berkata, beliau sudah menghubungi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bagi membantu Fendy mendapatkan dana menerusi Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) dan Dana Kandungan Digital Muzik (DKD Muzik) untuk program Hiburan Dari Rumah.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *