Kuala Lumpur: Penyanyi era 90-an Hasnol yang popular dengan lagu Lagu Ku Untuk Mu memaklumkan tidak kisah menjadikan pemandu e-hailing untuk mencari sumber pendapatan demi bangkit semula dalam kehidupan.
Sebaliknya, Hasnol atau nama sebenar Hasnol Hassan Ariff, 56, berkata dia rasa gembira kerana ada segelintir penumpang mengenalinya dan meminta dia menyanyikan lagu popularnya itu.
“Saya tak kisah dan tak rasa malu pun buat pekerjaan ini. Ada penumpang minta saya menyanyi dan saya pun ikutkan permintaan mereka.
“Dapatlah tips ekstra sikit. Syukur rezeki saya, tapi jujur saya katakan kalau setakat nak bawa e-hailing saja pun tak mencukupi kerana kos sara hidup yang tinggi sekarang.
“Tak boleh nak ‘cover’ kos. Malah, hujung minggu pun saya bawa e-hailing kadang-kadang malam-malam sampai pukul 2-3 pagi,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, dia juga mengambil inisiatif mencari sumber pendapatan dengan aktiviti busking pada setiap hujung minggu.
“Pagi Sabtu dan Ahad, saya akan busking di kedai Roti Kitab, Shah Alam. Kadang-kadang saya ada dekat Kopi Jiran Bangi, ikut moodlah tapi selalunya ada dekat Shah Alam.
“Bayangkan saya yang tinggal di Ampang kena memandu selama 45 minit nak sampai ke Shah Alam. Tapi itulah namanya cari rezeki. Saya tak merungut tapi entahlah tawaran show pun dah jarang dapat sekarang.
“Sama ada ia hanya ditawarkan kepada muka-muka sama ataupun memang rezeki saya tertutup atas sebab-sebab tertentu. Saya serahkan nasib saya kepada Allah,” katanya.
Terdahulu, Hasnol memberitahu sudah memutuskan pertunangan dengan seorang wanita yang mengaku kerabat diraja sebuah negeri.
Hasnol berkata, banyak perkara berlaku sepanjang tempoh perhubungan dengan wanita terbabit antaranya dia dipulaukan keluarga, anak-anak dan kawan-kawan.
Menurutnya, dia terlalu mengikutkan kata-kata wanita terbabit sehinggakan membuatkan orang sekelilingnya berasa kecewa.