Mengangkat genre thriller politik, aksi dan penyiasatan siber, filem Konspirasi ini mengetengahkan mesej bahayanya rasuah dan perlu ditangani demi kedaulatan negara.
Rasuah boleh berlaku di mana-mana dan membabitkan sesiapa sahaja. Justeru, inilah peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cuba dipertontonkan kepada umum.
Sepanjang 125 minit menyaksikan filem Konspirasi, ternyata bukan mudah untuk SPRM menyiasat, menangkap dan melumpuhkan aktiviti rasuah yang berlaku.
Perlu ada strategi dan komited mengumpulkan bahan bukti, saling bekerjasama dan pantas bertindak agar mereka terbabit rasuah dibawa ke muka pengadilan.
Apa yang pasti, filem Konspirasi ini padat dengan kisah penyiasatan, aksi, pengorbanan, kasih sayang dan hubungan kekeluargaan dalam kehidupan manusia.
Meskipun manusia ada kala tidak terlepas daripada sikap tamak sehingga tersilap langkah, namun pada sisi lain nilai kasih sayang kekeluargaan itu menjadi kekuatan diri.
Menariknya, lakonan semua pelakon dipilih dalam filem Konspirasi ini mantap dan hebat. Masing-masing mampu menjiwai karakter dengan sangat baik termasuk melakukan babak aksi yang tangkas.
Penampilan Roy Azman, Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin dan Shiqin Kamal sebagai anggota SPRM mempunyai karisma tersendiri dengan tugas masing-masing
Begitu juga, lakonan mantap Che Puan Sarimah Ibrahim dan Esma Daniel sebagai ahli politik memaparkan kewibawaan mereka terhadap watak digalas.
Bakat Amir Nafis untuk karakter antagonis juga mampu dibuktikannya sebaik mungkin. Jadi, boleh dikatakan kredibiliti barisan pelakon amat tepat.
Ghaz selaku pengarah Konspirasi berkata, ketika skrip naskhah itu ditulis, ia dilakukan dengan berhati-hati.
Menurutnya, dia bersama penulis skrip turun naik ke pejabat SPRM untuk berjumpa penasihat dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Cerita (Konspirasi) ini dibuat dengan ‘research’ (penyelidikan) daripada segi unit perisikan, peralatan digunakan dan ruang pejabat. Ia tidak ‘simply’ begitu sahaja seiring tema yang berkaitan.
“Unsur politik ini semua, saya rasa tema itu universal kerana di mana-mana rasuah sebegitu memang ada di negara lain. Jadi, saya rasa tidak perlu ada orang nak terasa sebab itu yang sekarang ini.
“Jadi, saya rasa apa yang dipaparkan rasuah dalam politik itu ialah secara general (umum). Bukannya nak ‘tembak’ mana-mana ahli parti politik, sama sekali tidak,” katanya ditemui di TGV Alamanda Putrajaya, baru-baru ini.
Bagi memantapkan perjalanan kisah dalam Konspirasi, Ghaz berkata, pihaknya turut melakukan penggambaran semula mengikut kesesuaian dan kehendak penceritaan SPRM.
Apapun, secara keseluruhan filem Konspirasi ini perlu ditonton kerana penonton akan memahami peranan sebenar SPRM termasuk memahami konteks rasuah itu berlaku.
Filem yang sarat mesej tersendiri, inilah realiti semasa berlaku dalam negara secara umum berkaitan rasuah. Sesungguhnya, manusia itu tetap manusia dan bukan malaikat.
Ia yang diterbitkan Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films dengan edaran oleh Primeworks Studios Sdn Bhd bakal ditayangkan kepada umum pada 21 Mei ini.