Kebiasaannya peminat sanggup membayar harga yang tinggi untuk menyaksikan konsert artis pujaan mereka dengan mengharapkan satu persembahan yang sempurna dan mantap dalam pelbagai aspek.
Bagaimanapun, situasi berbeza dirasai ketika menyaksikan Konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu lalu.
Yang nyata kehadiran kira-kira 3,000 peminat bukanlah semata-mata mahu menyaksikan kesempurnaan nyanyian Fauziah atau Jee mengalunkan lagu-lagu seperti ketika usia mudanya,
Sebaliknya, mereka lebih bermatlamat memberi sokongan penuh terhadap konsert sulung Fauziah sepanjang 40 tahun terbabit dalam industri nyanyian tanah air.
Selain itu, peminat semestinya mahu mengimbas semula memori lampau menerusi lagu-lagu popular penyanyi bernama sebenar Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff yang berusia 55 tahun ini.
Sokongan padu ini menjadi perangsang semangat buatnya untuk tampil menghiburkan peminat menerusi lagu pembukaan Setiaku Korbankan. Tepukan bergemuruh peminat seakan memberikan kekuatan.

Fauziah kemudian menyampaikan lagu kedua, Apa Sebenarnya, diikuti lagu Tua Mengejar Kita, Bukan Berpatah Arang dan Aku Sebutir Pasir.
Lagu-lagu ini sememangnya popular dan tanpa disuruh peminat turut sama menyanyikannya secara beramai-ramai sekali gus menjadi bukti populariti Fauziah yang begitu hebat pada eranya.
Namun, biarpun peminat tidak henti-henti bertepuk tangan, perasaan gemuruh Fauziah jelas dirasakan menerusi getar suaranya ketika berkomunikasi dengan penonton.
Fauziah menyedari kekurangannya yang tidak dapat memberikan persembahan terbaik dan secara terbuka memohon maaf atas kelemahan dirinya.
Sikap merendah diri ini menjadi titik penting yang membuatkan peminat terpesona dan teruja untuk mengikuti persembahan sehingga akhir.
Selain persembahan vokal yang diiringi barisan pemuzik profesional, penampilan penyanyi latar dan aspek penataan pentas seperti pencahayaan turut membantu menghidupkan konsert ini.
Fauziah memilih berkomunikasi dengan peminat dengan ungkapan dialog-dialog yang mengupas sesuatu peristiwa dalam kehidupan dan kemudian berkaitan dengan lagu nyanyiannya.

Lagu-lagu segmen kedua yang ditampilkan ialah Enggan, Ku Pohon Kemaafan, Aku Masih Seperti Dulu, Bukan Kemahuan Fikiran dan Tiada Noktah Cinta.
Rangkaian lagu ‘high note’ ini mencabar kemampuan Fauziah yang agak kurang aktif menyanyi berbanding dahulu. Namun, kesungguhannya mencuba itu ‘mahal’ membuatkan peminat bertepuk tangan tanpa henti.
Selepas berduet dengan Datuk Jamal Abdillah menerusi lagu Kehebatan Cinta, Fauziah tampil semula dengan lagu seterusnya iaitu Kau Merubah Segalanya, Batas Menanti dan medley lagu rancak, Di Muara Sepi dan Sekilas Senyumanmu.
Peminat turut sama menyanyi dan pastinya di minda mereka secara automatik terbayang kisah yang dilalui semasa era lagu-lagu ini menjadi siulan ramai.
Kerancakan persembahan diteruskan dengan lagu Kenari, Sahabat, Dia, Dari Kaki Tangga Ke Menara, Yang Lebih Kau Cinta dan lagu kemuncak, Teratai Lagu Di Tasik Madu.
Kali ini dia mengajak peminat turut sama menyanyi dan kelihatan dia menyeka air mata yang mula menitis ke pipinya.
Peminat yang hadir ke konsert anjuran Ideatelier itu pulang dengan hati yang puas dengan persembahan Fauziah yang dianggap satu permulaan baik ini.
Manakala, yang tidak hadir menonton, tidak perlulah banyak bunyi. Ada baiknya mereka terus menyokong karier Fauziah.