KUALA LUMPUR: Penyanyi Nourul Depp reda dan berserah kepada takdir Allah soal hubungan dengan anak sulung, Ayu Nazirah, 27, yang didakwa keruh, sejak beberapa tahun lalu.
Nourul atau nama sebenar, Noorulhuda Abdul Wahab, 49, sedar isu hubungan bersama Ayu kembali diperkatakan selepas perkongsian dalam sesi audio siar atau podcast, baru-baru ini. Bagaimanapun, perkongsian itu bukanlah bertujuan mahu mengeruhkan lagi keadaan.
“Sebenarnya, kisah itu sudah lama, sudah empat tahun berlaku. Cuma saya bercerita kembali apa yang terjadi. Saya bercerita bukan untuk menunjukkan keburukan dia. Macam mana sekalipun dia tetap anak saya.
“Saya biarkan dia berjalan dahulu dan mencari dirinya. Saya dahulu pun melalui proses mencari diri dan kita ada melakukan kesilapan. Saya cakap dalam podcast itu sebagai ibu yang memberitahu pada anak-anak yang lain, bahawa emak tetap emak walau macam mana pun.
“Macam mana awak hendak kejar hidup awak, emak, awak jangan lupa. Saya dibesarkan sebegitu, menghormati orang tua kita.
“Saya sudah berikan semua ajaran pada anak saya dan dia seorang yang pandai. Jadi, dia pilih,” katanya pada sidang media Konsert For You Nourul di sini, semalam.
Nourul berkata, isu Ayu Nazirah tidak memberi kesan besar pada perjalanan konsertnya yang juga diuji dengan beberapa cabaran. Akuinya, dia memilih untuk berdamai dengan keadaan.
“Perkara itu tidak terlalu mengganggu saya sebab sudah dilepaskan. Kalau tanya soalan ini pada 2022 atau 2023, mungkin saya sedang rapuh. Tetapi, itu juga suatu fasa yang buat saya kenal diri saya.
“Saya pilih untuk melupakan kerana saya sayangkan diri saya. Bukan saya tidak sayang anak, saya sayang dia. Tetapi, saya harus sayang diri saya juga. Sebagai ibu dan bapa, kita berkorban untuk anak kita.
“Misalnya, anak kita sakit, kita berjaga malam dan sebagainya. Jadi, saya tanya diri ini, adakah saya layak untuk terima kekecewaan. Kita akan sentiasa ada pergeseran dengan anak kita, tetapi, adakah pergeseran itu dihormati oleh anak kita atau tidak? Dia hendak cari penyelesaian atau tidak.
“Tetapi, sekarang saya okay dan saya tidak fikir. Sebelum ini, saya pernah hidap kanser dan tidak mahu lagi ada kanser. Perkara yang memberi tekanan ini boleh mendatangkan penyakit, jadi saya tak mahu tertekan,” katanya.
Bertanya mengapa tidak memilih untuk menyelesaikan masalah berbangkit dan juga mencari jalan perdamaian, Nourul berkata, dia tidak mahu mendesak kerana bimbang keadaan menjadi lebih buruk.
“Ada satu perkara yang kalau kita ‘push’ akan jadi lebih teruk. Bukan saya seorang ada masalah begini. Peminat saya pun ada alami perkara sama. Saya berkumpul bersama mereka untuk cari mana yang perlu diperbaiki.
“Saya tentukan kesalahan saya sebab sebagai ibu, kita ada kesalahan. Kita ada buat salah juga. Misalnya, saya pernah kata buat anak sebagai kawan, itu salah kerana kita perlu ada ‘borderline’.
“Jadi, saya hanya tunggu waktu selepas saya usaha sampai suatu tahap saya rasa saya tak boleh ‘push’. Saya serah kepada Allah SWT sebab percaya Tuhan dan kita harus berserah kepada Dia.
“Saya hanya berdoa dan sabar, waktunya akan datang. Tuhan hendak berikan kita sesuatu, ada waktunya dan saya harus sabar.
“Ia kedengaran ‘selfish’, tetapi ia adalah suatu bentuk penjagaan diri. Kita harus jaga hati kita dahulu kerana kalau minda kita tak stabil, fizikal kita akan sakit. Itu yang saya belajar. Jadi. bukan kata saya tidak selesaikan, tetapi saya ‘let go’,” katanya.
Dalam pada itu, Nourul mengakui anaknya ada menghantar mesej ucapan sempena Hari Raya, baru-baru ini.
Pergeseran antara Nourul dan Ayu Nazirah mula diperkatakan pada 2023 selepas kedua-duanya dikatakan bermasam muka.