Karya tempatan terus memahat nama di persada dunia apabila filem cereka Malaysia, ‘Somewhere in the South’ meraih dua anugerah antarabangsa di ‘Hong Kong International Film Festival (HKIFF) Industry Project Market’ (HAF IDP) 2026, baru-baru ini.

Projek yang menjadi wakil tunggal negara dalam kategori ‘The Hong Kong – Asia Film Financing Forum (HAF) In-Development Project (IDP)’ itu membawa pulang anugerah ‘Udine Focus Asia

Award’ dan ‘Pica Pica Media Post-Production Award’.

Filem cereka ‘Somewhere in the South’ ini diarah dan ditulis oleh Tan Ce Ding adalah kolaborasi antara penerbit Malaysia, Edward Lim bersama penerbit Singapura, Anthony Chen.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, kemenangan berganda itu adalah isyarat jelas bahawa standard pengkarya filem tempatan kini sudah mencapai tahap antarabangsa dan diiktiraf juri antarabangsa.

“Sejak 2024 lagi, apabila FINAS menghadiri festival antarabangsa, rakan perfileman dunia sudah mula mengenali potensi kita menerusi kejayaan filem ‘Abang Adik’ dan ‘Tiger Stripes’. Malah, mereka sering bertanya kepada FINAS mengenai naskhah terbaharu dari Malaysia.

“Kejayaan ini membuktikan kekuatan karya kita yang mempunyai potensi global yang sangat besar,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Azmir, bagi memastikan momentum ini berterusan, FINAS kini meluaskan skop Dana Promosi & Pemasaran Antarabangsa (DPPA) sejak tahun lalu.

“Dana ini bukan sekadar untuk menyertai pertandingan, tetapi membantu produser dan pengarah menyertai sesi ‘pitching’ di platform antarabangsa seperti di Korea Selatan dan Jepun.

“Kita juga agresif menggalakkan kerjasama ‘co-production’ melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) dengan menjalin hubungan bersama agensi serantau seperti IMDA (Singapura), FDCP (Filipina) dan Kementerian Kebudayaan Indonesia,” katanya.

Menurutnya, pembabitan Malaysia dalam ‘Asian Film Affiliation Network (AFAN)’ bersama enam negara lain iaitu Mongolia, Indonesia, Filipina, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan turut memperkukuhkan kedudukan negara sebagai rakan strategik perfileman yang sedang meningkat naik.

Dalam perkembangan sama, Azmir berkongsi memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia kini di peringkat akhir bagi memperkenalkan program ‘Malay Script Lab’ untuk menghasilkan lebih banyak filem usahasama.

“Bagi golongan muda dan juga kepada penggiat industri, ada berita baik iaitu FINAS akan mengumumkan program baru iaitu ‘Producer Lab’ tidak lama lagi. Ia merangkumi kategori filem cereka, filem pendek dan animasi.

“Menerusi program ini, peserta akan melalui proses mentor, bimbingan dan kelas ‘pitching’ sebelum dibawa ke pasaran antarabangsa untuk mencari rakan kerjasama dan dana luar,” kongsinya.

Sementara itu, Azmir berkata, industri perfileman negara kini dilihat semakin rancak dengan pengumuman kolaborasi filem berskala besar seperti Black Ops dan Konspirasi yang diumumkan di Hong Kong Filmart.

Katanya, pada majlis yang turut dihadiri FINAS bersama delegasi 10 syarikat produksi tempatan, kolaborasi itu membabitkan Skop Productions Sdn Bhd dan Elipfilm Entertainment bersama syarikat serta pengedar Hong Kong

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *