Kuala Lumpur: Pengasas dan penerbit terkenal, Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa bimbang dengan perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang semakin memuncak ketika ini.
Yusof berkata, isu itu bukan sahaja akan menjejaskan pembikin filem tempatan, malah semua rakyat Malaysia juga akan turut terkesan.
“Sebagai pembikin filem terutamanya golongan peniaga pastinya saya berasa amat bimbang dengan perkara itu.
“Saya percaya, bukan sahaja peniaga, semua orang pun akan terjejas terutama bila berlaku kenaikan harga minyak dan sebagainya nanti.
“Dalam konteks dunia filem, saya dan semua yang menceburi bisnes ini berasa bimbang isu itu akan menyebabkan kenaikan harga minyak dan harga barang yang semuanya akan menjejaskan kestabilan ekonomi negara. Orang juga akan memilih sama ada nak beli makanan atau tengok wayang?” katanya.
Kata Yusof, dia sangat berharap konflik AS dan Iran itu dapat diselesaikan dengan segera.
“Kita berharap mudah-mudahan peperangan AS dan Iran ini akan dapat diselesaikan serta ditamatkan dengan seberapa cepat.
“Sebenarnya, negara kita berada dalam zon yang selesa sebelum peperangan ini berlaku. Kita juga tidak tahu kemungkinan, peperangan ini akan berpanjangan nanti,” katanya.
Katanya, pada masa sama dia menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dan mengambil langkah berjimat cermat ketika berbelanja.
“Konflik itu bukan hanya beri kesan pada industri perfileman saja, tetapi semua rakyat Malaysia. Semoga Allah SWT melindungi kita,” katanya.