Kuala Lumpur: “Saya hanya manusia biasa yang penuh kekurangan. Apa yang datang dari tanah, akan kembali ke tanah.”

Demikian luahan penyanyi, Aweera yang tampil memohon maaf kepada semua pihak yang terasa hati dan tidak selesa dengannya menerusi hantaran di Instagram, semalam.

Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Norhissham, 34, secara terbuka mengakui dirinya bukanlah seorang insan yang hebat, malah jauh sekali daripada kesempurnaan.

“Saya bukan sesiapa. Namun, saya tetap bersyukur dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada saya. Saya cuma mahu merasakan sedikit kebahagiaan sebelum saya menutup mata.

“Mohon maafkan saya jika saya membuat anda semua berasa tidak selesa dengan saya. Sama ada rakan-rakan artis atau sesiapa sahaja. Maafkan saya,” tulisnya.

Menurut pelantun lagu Terhakis ini, luahan berkenaan bukan untuk menagih perhatian daripada mana-mana pihak, sebaliknya refleksi dirinya sebagai seorang manusia yang lemah.

Dalam pada itu, Aweera turut menitipkan permohonan maaf secara khusus kepada golongan wanita yang mungkin tersinggung dengan ketegasannya selama ini.

“Saya memohon maaf kepada semua wanita yang merasakan saya terlalu kasar terhadap mereka. Saya hanya mahu berkawan dengan niat yang ikhlas,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Bagaimanapun, Aweera tidak berkongsi secara terperinci kepada siapa hantaran itu ditujukan.

Namun, umum mengetahui bahawa pemenang tempat keenam Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) ini pernah melalui fasa gelap dalam hidupnya sebelum ini.

Sekitar Februari lalu, Aweera mendedahkan dia mengalami depresi akibat tindakan segelintir netizen yang melemparkan kecaman terhadap kemampuan vokalnya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *