KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tampil dengan inisiatif pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi menyokong program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di kalangan penggiat industri seni kreatif.
Bertempat di lokasi premis FINAS Hulu Kelang, Selangor, inisiatif pemberian vaksinasi bagi membina imunisasi seiring usaha membolehkan penggiat seni kreatif bekerja dengan selamat. Ia juga bagi mempercepat matlamat kerajaan mencapai imuniti kelompok.
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya mencadangkan mewujudkan PPV di Studio Sound Stage dengan kapasiti saiz studio bersamaan ruang parkir kenderaan.
“FINAS sudah melakukan pembentangan bersama Kementerian Sains, teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI) pada Khamis lalu. Kami dipanggil membentangkan cadangan pembukaan PPV di premis FINAS, khusus buat penggiat industri seni kreatif, pagi ini.
- FINAS sedia bantu aktifkan PiNCER
- Ahli FINAS sokong Zakaria, Ahmad Idham
- Allahyarham Jins Shamsudin diabadi di Layar Bintang
- Masih ambil ringan SOP di lokasi
“Kami mengucapkan penghargaan atas kesudian Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mendengar pembentangan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
“Khairy menunjukkan keprihatinan tinggi, memahami nasib dan masalah dihadapi oleh penggiat seni yang terkesan teruk akibat larangan kerja penggambaran dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).https://383905ef296e81730f7c834c02f8bcef.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html
“FINAS berharap inisiatif pembukaan PPV dapat dilaksanakan pada pertengahan bulan ini,” katanya kepada BH Online.
Zakaria berkata, FINAS juga berharap permohonan ini dapat segera diluluskan oleh MOSTI.
Katanya, pihaknya sedang bersiap sedia dengan kemudahan PPV yang dijangka dilaksanakan, tidak lama lagi.
“FINAS mensasarkan seramai 10,000 penerima vaksinasi COVID-19 dengan kadar 600 penggiat seni sehari.
“Ia membabitkan penerbit, pelakon, kru, pawagam, pengiklanan, pengedar kandungan kreatif, syarikat pasca produksi, animasi, pemegang lesen FINAS, penggiat industri dan ahli persatuan di bawah Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) dan lain-lain.
“Secara tidak langsung ia membuktikan FINAS mendengar suara penggiat seni, terutama menerusi wakil persatuan.
“Banyak persatuan melontarkan idea supaya mewujudkan pusat sehenti pemberian vaksin untuk penggiat seni. Ia membolehkan penggiat seni rasa selesa dan selamat untuk kembali bekerja,” katanya.
Dengan itu, Zakaria berharap, warga penggiat seni boleh hadir menerima vaksin di PPV yang akan dibuka di FINAS Hulu Kelang.
“Insya-Allah dengan kemudahan yang ada, PPV ini boleh menampung pemberian vaksin kepada 10,000 penggiat seni yang dijangka mengambil masa selama dua minggu untuk diselesaikan.
“Selepas itu barulah selesa melihat penggiat seni kembali menjalankan penggambaran dan kerja seni lain,” katanya.
Katanya, FINAS yang juga pusat sehenti aktiviti penerbitan, pawagam dan pengedaran kandungan industri kreatif dikatakan antara lokasi strategik untuk pembukaan PPV.
Selain itu, katanya, lokasi premis pejabat FINAS mempunyai capaian internet baik dan mempunyai kemudahan tempat letak kereta mencukupi, studio luas dan selesa sebagai tempat vaksinasi.
Kredit: Berita Harian