FILEM: Malaikat Malam
PENGARAH: Nazifdin Nasrudin
PELAKON: Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Que Haidar, Akmal Asyraf, Riezman Khuzaimi
GENRE: Aksi romantik
TAYANGAN: 26 Mac 2026
ULASAN: Ramlah Zainal
(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)
Malaikat Malam bukan sekadar filem aksi permotoran, tetapi lebih daripada itu kerana kisah cinta lebih banyak dipaparkan berbanding aksi perlumbaan.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan apabila ia turut mengetengahkan nilai persahabatan dan kekeluargaan sebagai kelainan untuk menarik penonton.
Filem ini menceritakan mengenai anak muda dalam dunia permotoran jalanan iaitu Azam (lakonan Syafiq Kyle) yang ‘struggle’ (berjuang) dengan kehidupan, keluarga dan kawan-kawannya.
Namun, pertemuan dengan gadis buta, Ratna (lakonan Tracie Sinidol) secara tidak sengaja membuatkan kehidupan Azam mula berubah sekali gus menjadi titik tolak dalam kehidupannya.
Tidak dapat dinafikan filem ini ada ‘vibe’ filem KL Menjerit kerana pengarah filem ini, Nazifdin Nasrudin sendiri mengakui dia juga mendapat inspirasi daripada filem berkenaan.
Dari sudut penceritaan, filem ini tampil dengan jalan cerita yang menarik dan mudah difahami.
Kehadiran barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Kodi Rasheed dan Que Haidar pastinya dianggap tarikan kerana berjaya dalam mengemudi watak masing-masing dengan baik.
Dari segi lakonan, Syafiq yang berganding dengan Tracie berjaya menjiwai watak Azam dengan baik seperti dikehendaki skripnya.
Sebagai pelakon baharu, Tracie mungkin sudah berusaha untuk membawakan watak Ratna yang juga gadis buta dalam filem ini walaupun lakonannya masih perlu diperbaiki lagi.
Apapun, penonton turut tersentuh babak romantik Azam dan Ratna di atas motosikal apatah lagi dengan iringan lagu runut bunyi (OST) yang mengimbau nostalgia seperti Sekuntum Bunga
Sakura Di Gurun Sahara (kumpulan Mega) sekali gus mengubat rindu pada filem cinta zaman dulu.
Ternyata pemilihan lagu-lagu OST dalam filem ini termasuk dendangan Alleycats dan kumpulan Ekamatra (Pusara Di Lebuhraya) memang bersesuaian untuk menghidupkan jalan cerita filem ini.
Namun, kejujuran dalam mengkritik sesebuah naskhah adalah perlu untuk penerbit memperbaiki karya mereka pada masa akan datang untuk terus memartabatkan industri filem tempatan.
Sebagai penonton, pastinya saya hadir ke panggung dengan harapan tinggi kerana filem ini taruhan terbaru daripada empat penerbit terkemuka tanah air iaitu Viper Studios, Skop Productions,
Astro Shaw dan Primeworks Studios.


Sama seperti penonton lain, saya kurang puas hati kerana babak perlumbaan yang hanya beberapa peratus sahaja sedangkan ia adalah filem ‘mat motor’ yang sepatutnya lebih banyak babak aksi dipaparkan.
Pada masa sama, penampilan Que Haidar (watak Arash) yang juga abang kepada Azam sepatutnya dimanfaatkan pengarah, tapi sayangnya dia hanya muncul dalam tiga babak sahaja dan penonton juga tidak puas untuk melihat kemunculan semulanya di layar perak.
Bagaimanapun, penulis percaya pengarah muda, Nazifdin ada alasan tersendiri untuk memaparkan lebih banyak kisah cinta daripada babak perlumbaan motosikal dalam filem ini.
Pada masa sama, cerita ini juga mahu menampilkan watak Azam yang lari daripada perwatakan ‘streotaip’ golongan mat rempit yang sering dipandang negatif dan sampah dalam masyarakat.
Watak Azam yang dipaparkan dalam cerita ini mahu berubah kepada kehidupan yang lebih baik dan mementingkan persahabatan dan keluarganya.
Secara keseluruhannya, meskipun ada kekurangan dalam babak aksi dan perlumbaan, Malaikat Malam adalah naskhah yang menghiburkan.
Malah, kisah cinta yang dipaparkan juga diharap mampu menarik penonton kalangan Gen Z ke pawagam.
Semoga filem Malaikat Malam yang ditayangkan bermula 26 Mac lalu mendapat sambutan yang baik di pawagam seluruh tanah air.