Kuala Lumpur: Pelakon juga anggota kumpulan Elite, Abby Abadi menasihatkan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim, 21, agar tidak terburu-buru membuat keputusan ketika berdepan kemelut rumah tangga.
Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, 49, berkata kemelut rumah tangga dihadapi Marissa yang berdepan situasi lafaz cerai dan rujuk sebanyak dua kali bersama suami, Ahmad Aslam, 27, diharap memberi pengajaran dalam kehidupannya.
“Kalau hari ini Adik (panggilan manja Marissa) belum faham erti hidup, tidak mengapa… yang penting terus belajar.
“Jangan buat sesuatu sebab ramai buat, tapi buat bila sesuatu itu memberi ‘nilai’ utk hidup Adik. Nilai hidup bukan pada siapa paling hebat, tapi pada jiwa dan hati yang tenang.
“Pusing-pusing dahulu lihat keindahan bumi ciptaan Allah ini. Bagi peluang untuk diri merasa nikmat kehidupan yang dianugerahkan,” luahnya pada hantaran dimuat naik di media sosial, hari ini.
Katanya, dia percaya usia Marissa yang masih muda memberi ruang untuk anaknya belajar daripada kesilapan bagi membentuk kematangan diri.
“Nasihat Mama, Adik baru berusia 20 tahun. Kesilapan itu bukan makna Adik gagal.
“Tapi itu tanda sedang belajar jadi manusia yang lebih baik dan matang. Anak Mama kuat! Insya-Allah sekali lagi,” katanya.
Terdahulu, Aslam dan Marissa hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini bagi pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang difailkan pada 10 Mac lalu.
Sementara itu, peguam syarie Muhammad Ammar Yaser memaklumkan anak guamnya, Ahmad Aslam pernah melafazkan dua kali cerai dan berlaku dua kali rujuk terhadap isterinya, Marissa Dania Hakim yang berlaku pada 2024 dan tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, Ahmad Aslam turut memaklumkan ada berlaku lafaz rujuk bagi kedua-dua lafaz cerai itu.
Prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk membabitkan Ahmad Aslam dan Marissa berlangsung di hadapan Hakim Syarie Nadia Khamis.
Pada Mei tahun lalu, Aslam dan Marissa hadir ke mahkamah ini bagi tujuan pengesahan pernikahan mereka di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.