Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat mendoakan yang terbaik buat Fyna Jebat selepas adiknya memuat naik satu hantaran di Instagram Story, mendedahkan bahawa dirinya ‘disimpan’ selama empat tahun oleh seseorang.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai situasi rumah tangga adiknya itu kerana menganggap Fyna sudah cukup matang untuk membuat keputusan sendiri.
“Dia bukan budak-budak lagi. Dia pun sudah 33 tahun. Jadi, apa yang dia lakukan, dia tahu kesannya. Tetapi, saya bukan orang yang sesuai untuk mengulas mengenai perkara ini.
“Bagi saya, kalau apa-apa pun, saya mohon kita doakan yang terbaik untuk dia dan suami. Saya pun dapat tahu daripada adik-beradik yang lain,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Ayda, kali terakhir mereka bertentang mata adalah pada hari pertama Aidilfitri, Sabtu lalu.
“Kami ada berjumpa selepas beberapa bulan tidak saling menghubungi. Kali terakhir bertemu adalah pada hari pertama Aidilfitri, ketika saya berada di kediaman mentua saya.
“Waktu itu, macam tidak ada apa-apa berlaku. Selepas pertemuan itu, kami tidak berhubung,” katanya.
Terdahulu, Fyna atau nama sebenarnya Nur Shafinaz Jebat memuat naik hantaran mengenai kekasaran yang dilakukan seorang individu terhadapnya.
Fyna juga bertanya kepada individu itu sampai bilakah dia akan menjadi simpanan dan meminta agar individu tersebut hadir ke mahkamah pada April ini.