Kuala Lumpur: Pelakon Fattah Amin, 36, menyifatkan pertemuan bersama isteri, Amira Othman, 33, dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil adalah peluang bermakna untuk memperkasakan Kempen Internet Selamat.

Menurut Fattah, dalam kunjungan hormat, baru-baru ini, mereka menyatakan sokongan komited sebagai individu dan anak seni mendepani realiti pengaruh media sosial masa kini.

Menerusi hantaran dimuat naik Fattah di Instagram (IG), pelakon filem Mimaland ini berkata, pertemuan terbabit bukan sekadar mewakili mereka, tetapi sebagai tanda komitmen untuk bersama-sama industri hiburan tanah air.

“Pertemuan ini sangat bermakna buat saya dan isteri yang bergiat dalam industri hiburan, anak-anak seni tempatan dan rakan-rakan pempengaruh untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan keselamatan dan etika di ruang media sosial.

“Sebagai individu yang berdepan realiti dunia media sosial, saya percaya sudah tiba masanya kita semua memainkan peranan untuk menjadikan internet sebagai ruang yang lebih selamat, beradab dan penuh empati.

“Saya dengan rendah hati mengambil inisiatif ini untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan insya-Allah akan berusaha menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin demi kebaikan masyarakat serta generasi akan datang,” tulisnya.

Katanya, pada masa sama dia turut mengingatkan dirinya dan masyarakat agar berusaha menggunakan internet secara selamat sekali gus menghapuskan isu buli siber di media sosial.

Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen yang mengikuti Fattah dan Amira di media sosial bersetuju dengan pandangan dikongsi itu untuk memastikan penggunaan internet yang selamat tanpa buli siber.

“Wah, Fattah sekarang ‘always’ berdiri di depan. Tahniah Fattah dan Amira,” komen netizen.

“Finally, Alhamdulillah. All the best Fattah dan Amira,” tulis seorang wargamaya.

“Mantap Fattah. Tengok Amira comel saja macam budak sekolah, suka tengok,” ujar pengguna media sosial.

“Terbaik! Semoga segala urusan Fattah dan Amira lancar dan dipermudahkan,” kata seorang warganet.

Terdahulu, Amira difahamkan pernah berhadapan komen-komen pedas daripada netizen yang mengecamnya ketika membuat siaran langsung di media sosial dan dia tidak mengendahkan ‘haters’ terbabit.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *