KUALA LUMPUR: “Nama saya tersenarai dalam kumpulan asnaf (mangsa letupan gas Putra Heights), tapi asnaf sekadar nama saja kut. Tidak ada pun bantuan bulanan,” kata bekas personaliti TV3, Aidil Abd Ghaffar.
Aidil, 58, mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada pagi Selasa, 1 April tahun lalu berkata, selepas kejadian itu, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) ada memberi sumbangan RM500 kepada setiap ketua keluarga Muslim yang terjejas akibat insiden itu.
“Jadi nama saya turut tersenarai. Saya reda sajalah. Lagipun saya sudah tiada sumber pendapatan selepas kejadian itu. Maksudnya sumbangan itu ‘one-off’ (sekali) saja.
“Sampai hari ini, tidak ada pun LZS beri bantuan susulan,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam kejadian yang berlaku pada pagi Hari Raya kedua itu, Aidil bersama empat ahli keluarganya terselamat daripada kebakaran terbabit.
Beliau bersama isteri serta dua anak dan menantu terpaksa keluar sehelai sepinggang meninggalkan rumah mereka.
Kediaman yang disewanya mengalami kerosakan selain empat kereta miliknya musnah disebabkan kebakaran itu dan mereka dibawa ke Pusat Perlindungan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.
Aidil berkata, dia masih menetap di rumah terbabit bersama isteri yang tidak bekerja dan seorang anaknya yang menghidap autisme ADHD.
“Dua anak perempuan saya sudah berkahwin dan tinggal berasingan. Saya sekarang tiada pendapatan tetap. Peluang kerja pun tidak ada. Saya pun tidak tahu mengapa.
“Hendak mohon kerja, umur sudah hendak masuk warga emas. Saya memang tiada sumber pendapatan. Sewa rumah sudah lima bulan tertunggak. Nasib baik tuan rumah prihatin keadaan saya,” katanya.