KUALA LUMPUR: Amyza Aznan, 50, terharu atas kemuliaan insan tidak dikenali yang menghadiahkan badal umrah buat anaknya, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Idzhar, 20, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap tiga, pada 23 Februari lalu.
Amyza berkata, urusan badal umrah itu dimaklumkan teman baik, Didie Alias, dua hari selepas anak sulungnya itu pergi menghadap Illahi.
“Saya tidak kenal pun insan yang mahu buat badal umrah buat arwah Andre. Didie beritahu ada hamba Allah mahu buat badal umrah, jadi, dia minta izin dan minta maklumat seperti nama penuh dan sebagainya.
“Saya beritahu, kalau mahu buat badal umrah, lakukan sahaja, tidak payah minta izin, tidak salah pun. Hamba Allah itu sudah ada di sana (Tanah Suci), jadi, saya dimaklumkan dia sudah buatkan badal umrah untuk arwah Andre… Alhamdulillah,” katanya.
Amyza memberitahu, sejak pemergian Allayarham Andre, ramai orang membuat wakaf atas nama arwah.
“Ramai yang wakafkan macam-macam atas nama Andre. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak,” katanya ditemui pada majlis berbuka puasa dan sidang media Konsert Ijmal Cinta Ramadan di Saloma Kuala Lumpur di sini, Sabtu lalu,
Badal umrah adalah ibadat umrah yang dilaksanakan seseorang bagi pihak individu lain.
Amyza berkata, dia merancang menunaikan badal haji buat anak sulungnya itu.
“Saya sudah tanya ustaz. Insya-Allah, hendak buat (badal haji) tahun ini. Dia (arwah Andre) tidak pernah cakap hendak pergi ke sana sini.
“Arwah anak yang tidak meminta-minta. Kalau cakap hendak pergi mana pun, dia hanya mahu balik rumah nenek dia… Itu saja. Tidak pernah dia beritahu, mummy, hendak pergi ke sana sini. Jadii, inilah yang saya usahakan untuk arwah,” katanya.
Didatangi pelbagai rezeki selepas pemergian Allahyarham Andre membuatkan Amyza terus tersentuh dengan kebaikan anaknya itu.
“Andre adalah anak yang taat dan soleh. Dia berbakti daripada mula bernyawa sehinggalah tidak bernyawa… Dia tetap berbakti.
“Dia bukan beri kepada saya. Dia beri kepada kawan-kawan saya. Dia buka jalan untuk rezeki kepada orang yang tidak dikenali. Saya tersentuh apabila ada orang tanya, apa agaknya amalan Andre yang menjadi rahsia antara dirinya dengan Allah?” katanya.
Amyza mengakui masih sukar menahan emosi setiap kali memikirkan kebaikan ditinggalkan anak tersayangnya itu.
“Saya termenung… Macam satu pukulan. Dengan menteri hendak tolong dan pelbagai lagi. Padahal Andre bukan siapa pun. Dia bukan artis dan jarang saya muat naik foto arwah di Instagram (IG),” katanya.
Jenazah Allahyarham Andre yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada 24 Februari lalu.