DIBESARKAN ibunya, Hatijah Teh Man yang berstatus ibu tunggal dan tanpa figura seorang ayah banyak mengajar Fasha Sandha untuk belajar erti hidup berdikari sejak kecil.
Menurut Fasha, kedua-dua ibu bapanya bercerai ketika dia berusia dua tahun.
“Mama juga berkahwin semula pada usia saya nak mencecah sebelas tahun.
“Sebab itu saya membesar menjadi anak yang sangat berdikari dan suka mencari duit sendiri.
“Saya juga tidak suka meminta-minta sebab saya sudah dididik akan dapat apa yang saya mahu dengan usaha sendiri.
“Sebab itu, setiap kali musim cuti sekolah (sekolah rendah), saya juga mengisi masa mencari duit poket dengan berlakon watak kecil dan ekstra bila ada pihak produksi drama yang mengadakan penggambaran di Perlis,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai bidang lakonan, kata Fasha, dia dipanggil produksi untuk uji bakat selepas mereka melihat gambarnya di majalah.
“Bermula dari uji bakat iklan, saya juga mula memberanikan diri mencuba nasib dengan menghadiri uji bakat drama pula selepas itu.
“Sebenarnya saya tidak ada pengalaman berlakon dan lakonan saya memang ‘kayu’ pada pembabitan awal dalam bidang lakonan.
“Tapi, saya jadikan lokasi penggambaran sebagai tempat saya menimba ilmu dan proses pembelajaran buat saya. Alhamdulillah, prestasi lakonan saya juga semakin baik, tapi nak kata sempurna itu tidak,” katanya.

Bagaimanapun, kata Fasha, pengarah yang mula mencungkil bakat lakonannya adalah Ambri Kailani Zain menerusi filem pertamanya genre aksi Black Maria pada 2003.
“Ambri, pengarah pertama yang cungkil bakat saya walaupun saya rasa tidak ada bakat dan ‘kayu’, malah dia orang pertama yang buka ruang pengarah lain mengenali siapa saya.
“Bermula dengan watak pembantu dalam filem Black Maria, saya terus dapat peluang beraksi dalam pelbagai projek filem dan ia berterusan sampai sekarang,” katanya.
Pada masa sama, Fasha juga bersyukur kerana rezekinya luas dalam cabang seni lakonan sampai sekarang.
“Alhamdulillah, rezeki saya sebagai pelakon sangat luas dan untuk tahun ini saja drama lakonan saya iaitu Doa Yang Terlindung juga berjaya mencecah 10 juta tontonan.

“Kini, ada lima lagi tawaran untuk projek drama baharu. Saya juga sedang meneliti skrip yang terbaik sebab pada Ogos nanti, saya terbabit dalam drama Doa Yang Terlindung 2,” katanya.
Kata Fasha lagi, buat masa ini, dia sibuk buat persiapan untuk projek drama terbaru berjudul Puteri Kembang Malam untuk TV3 yang mulakan penggambaran minggu depan.