Kuala Lumpur: Pelakon, Riezman Khuzaimi mengakui terkejut apabila video masakan nasi goreng sahur yang dimuat naik di aplikasi TikTok baru-baru ini dihujani komen yang mengaitkan dirinya dengan watak ‘Malik’ lakonannya.
Selepas lebih dua dekad, watak ikonik Malik lakonannya menerusi filem Baik Punya Cilok nampaknya masih segar dalam ingatan peminat sehingga kini.
“Baru-baru ini saya ada buat video masak nasi goreng sahur, memang ramai yang kaitkan balik dengan watak Malik.
“Untuk lebih mengimbau kenangan, saya buat sesi ‘live’ dan memakai cermin mata watak Malik itu balik sambil masak asam pedas sebab permintaan ramai sangat,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Riezman, 56, ini juga tidak menyangka kehadirannya di TikTok turut menarik perhatian golongan muda, terutamanya selepas dia aktif berkongsi hobi sukan pickleball.
“Ramai juga peminat baharu, tapi kebanyakannya yang berumur 30 tahun ke atas. Namun, sejak saya aktif bermain pickleball, ramai juga anak muda umur 20-an yang mula mengikuti saya.
“Saya main pickleball hampir setiap hari, termasuklah bulan puasa ini untuk jaga stamina dan bentuk badan,” katanya.
Filem Baik Punya Cilok adalah filem pertama arahan pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki dan ditayangkan pada 2005.