SUBANG: Menjelang Aidilfitri, irama lagu raya sentiasa menjadi pelengkap suasana, namun bagi Ratu Rock tanah air, Ella, hasrat untuk kembali merakamkan karya raya baharu masih belum menjadi kenyataan.
Penyanyi legenda itu mengakui pernah merakamkan lagu raya berjudul Raya Ini Ada Dia sekitar 2014, namun sehingga kini belum berkesempatan menghadiahkan karya baharu buat peminat setiap kali musim perayaan menjelang.
Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 59, berkata dia juga menyedari ramai peminat sering bertanya mengenai perancangan menghasilkan lagu raya baharu.
Menurut penyanyi lagu Standing In The Eyes Of The World itu, keinginan tersebut sememangnya ada, namun kekangan masa serta komitmen terhadap pelbagai projek seni membuatkan perancangan itu masih tertangguh.
“Saya memang ada satu sahaja lagu raya setakat ini. Sebenarnya kami ada merancang untuk keluarkan lagu raya baharu, tetapi belum ada kesempatan untuk merakamkannya kerana sekarang saya banyak memberi tumpuan kepada konsert.
“Saya memang suka lagu raya dan gemar mendengarnya, tetapi saya lebih cenderung kepada lagu raya lama kerana bagi saya ia lebih syahdu,” katanya.
Ella berkata lagu raya klasik nyanyian penyanyi terdahulu mempunyai keistimewaan tersendiri, terutama dari segi melodi dan lirik yang lebih menyentuh perasaan.

Katanya, karya penyanyi seperti Datuk M Nasir dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini antara lagu raya yang sering menjadi pilihannya.
“Bukanlah saya mahu membandingkan, tetapi melodi lagu raya lama lebih ‘berasa’. Dari segi melodi dan lirik juga lebih kuat.
“Jadi ada juga peminat yang bertanya bila saya akan keluarkan lagu raya lagi, tetapi setakat ini belum ada perancangan khusus,” katanya.
Bagaimanapun, Ella tidak menolak kemungkinan untuk kembali merakamkan lagu raya sekiranya bertemu karya yang benar-benar sesuai dengan jiwanya.
“Kalau ada lagu yang sesuai dan saya rasa serasi, tidak mustahil untuk saya rakamkan lagu raya lagi pada masa akan datang,” katanya.
Ella berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Jalinan Kasih Bersama Persatuan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal Hajah Kamariah di The Saujana Hotel di sini, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Ella meraikan kira-kira 40 anak yatim serta ibu tunggal dengan menyampaikan sumbangan wang tunai, barangan keperluan dan cenderahati.
Menurut Ella, penganjuran majlis berkenaan adalah usaha untuk berkongsi rezeki dan memberi kegembiraan kepada golongan memerlukan menjelang Aidilfitri.
“Kali ini kami memilih untuk meraikan anak-anak yatim dan ibu tunggal supaya semua dapat merasa. Usaha ini dibuat bersama pihak hotel dan ini adalah tahun kedua kami menganjurkannya di sini.
“Bagi saya, Ramadan adalah masa terbaik untuk berkongsi rezeki dan menggembirakan mereka yang memerlukan.
“Saya bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk bersama-sama dengan anak-anak yatim dan ibu tunggal dalam majlis seperti ini.
“Menggembirakan mereka juga membuatkan saya tidur lena. Insya-Allah kita doakan mendapat ganjaran terbaik daripada usaha baik yang kita lakukan,” katanya.
Majlis itu turut dimeriahkan kehadiran rakan penggiat seni termasuk Datuk Nash, Datuk Fizz Fairuz, Rahmat Mega, Ali XPDC, Datuk Acis serta jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon.
Dalam perkembangan lain, Ella berkata jadual seninya ketika ini padat dengan persiapan konsert termasuk showcase yang dijadual berlangsung di Qatar.
“Saya cuba seimbangkan jadual seni dengan aktiviti ibadah sepanjang Ramadan. Insya-Allah kami juga sempat menunaikan solat tarawih di masjid.
“Selepas Ramadan dan Syawal nanti, saya akan mengadakan showcase pertama di Qatar,” katanya.
Namun, pelaksanaan persembahan itu bergantung kepada perkembangan situasi semasa di Asia Barat.
“Alhamdulillah, tiket showcase di Qatar hampir ‘sold out’ dan saya juga sudah bersedia untuk membuat persembahan di sana.
“Dalam keterujaan itu, sudah tentu saya juga gementar kerana ia satu cabaran buat saya. Showcase ini diadakan atas jemputan sebuah organisasi Malaysia,” katanya.
Ella dijadual mengadakan persembahan pada 26 April depan di Hilton Doha dan bakal mendendangkan kira-kira 15 lagu buat peminat di sana.
“Namun semuanya bergantung kepada keadaan semasa. Jika ditunda sekalipun, saya akur dan menghormati keputusan pihak penganjur,” katanya.