Kuala Lumpur: Filem Amira Amir lakonan Sophia Albarakbah dan Zahiril Adzim yang didakwa mengangkat isu transgender bukan diangkat daripada kejadian sebenar.

Sebaliknya, naskhah terbitan Astro Shaw berkenaan adalah idea asal yang tercetus hasil pemerhatian terhadap realiti kehidupan dalam masyarakat, hari ini.

Ketua Pemasaran, Pengedaran dan Kerjasama Industri Astro Shaw, Norsalvina Alwee mendedahkan karya terbabit bukanlah diinspirasikan daripada kisah benar.

Menurutnya, segalanya bermula apabila dia terbaca satu komen yang cukup menjentik hatinya dalam hantaran di media sosial.

“Filem Amira Amir ini bukan berdasarkan kisah benar. Idea filem ini sebenarnya terlahir daripada persekitaran yang saya nampak. Pada suatu pagi, saya buka media sosial dan ternampak satu hantaran.

“Saya tertarik dengan satu komen, ada seseorang tanya (dalam komen hantaran terbabit), kalau awak begini (transjantina), bagaimana kalau awak meninggal dunia, bagaimana keadaan awak.

“Itu yang membuatkan saya terdetik dan mahu bercerita tentang perkara itu. Kalau kita fikir balik, betul juga, macam mana keadaannya (situasi tersebut) nanti?” katanya ketika ditemui semasa Tayangan Perdana dan Sidang Media filem Amira Amir, baru-baru ini.

Menurut Norsalvina, walaupun naskhah terbabit tidak diinspirasikan daripada kisah hidup seseorang, intipati cerita itu adalah refleksi kepada isu-isu yang berlaku dalam masyarakat.

“Semestinya kita mempunyai barisan pengarah dan penulis skrip yang hebat untuk menggabungkan isu terbabit sehingga ia berjaya diangkat menjadi sebuah naskhah yang sangat mengujakan,” katanya.

Sementara itu, penulis skrip Zuli Ismail berkata, naskhah ini dihasilkan bukan untuk mengangkat gaya hidup LGBT, sebaliknya berkisar konflik keluarga dan realiti masyarakat.

Selain itu, Zuli turut berkongsi bahawa naratif filem terbabit dibentuk hasil perbincangan bersama Eenaz Mokhtar selepas menerima idea asal daripada Norsalvina.

“Dalam filem Amira Amir ini, kami memang mahu paparkan cerita tentang konflik dalam keluarga, masyarakat dan komuniti.

“Kami bukan mahu mengangkat isu LGBT, kami mahu buat cerita yang berkaitan dengan masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, sebuah akaun di Facebook mendakwa bahawa filem Amira Amir ini dihasilkan berdasarkan kisah benar yang berlaku pada 1997.

Selain Sophia dan Zahiril, filem Amira Amir turut dibintangi Fezrul Khan, Zarynn Min dan Kartina Aziz ini bakal menemui penonton bermula hari ini di Astro First dan Sooka.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *