WASHINGTON: Pelakon drama remaja popular era 1990-an, Dawson’s Creek, iaitu James Van Der Beek meninggal dunia pada usia 48 tahun selepas bertarung dengan kanser, semalam.

Berita sedih itu dikongsi isterinya, Kimberly di Instagram (IG), lapor REUTERS.

“James David Van Der Beek tercinta kami menghembuskan nafas terakhir dengan tenang pagi ini (semalam). Dia melalui hari-hari akhirnya dengan penuh keberanian, keimanan dan ketabahan,” katanya.

Peminat dan rakan artis turut membanjiri media sosial dengan ucapan takziah, mengenang pengaruh besar Van Der Beek terhadap kehidupan dan kerjaya mereka.

“Walaupun legasi James akan terus hidup, kehilangan ini amat besar, bukan sahaja buat keluarganya tetapi juga dunia,” tulis Sarah Michelle Gellar.

Satu tabung GoFundMe turut dilancarkan bagi mengumpul dana AS$500,000 (RM1.9 juta) untuk membantu balu dan enam anak Van Der Beek. Dalam tempoh kurang sejam, lebih AS$200,000 (RM783,000) berjaya dikumpulkan.

Pada 2024, Van Der Beek mendedahkan dia didiagnosis menghidap kanser kolorektal selepas penyakit itu dikesan menerusi kolonoskopi rutin setahun sebelumnya.

“Saya menangani perkara ini secara peribadi sebelum ini sambil menjalani rawatan dan memberi tumpuan penuh terhadap kesihatan,” tulisnya di media sosial ketika itu.

Van Der Beek turut berkongsi perjalanan melawan kanser sehingga ke akhir hayatnya.

Anak jati Connecticut itu mula mencipta nama pada era 1990-an menerusi watak Dawson Leery dalam Dawson’s Creek, bergandingan dengan Michelle Williams, Joshua Jackson dan Katie Holmes.

Siri itu memfokuskan kisah cinta tiga segi antara Dawson, seorang remaja romantik yang bercita-cita menjadi pembikin filem, bersama dua sahabat baiknya, Joey Potter (Holmes) dan Pacey Witter (Jackson).

“Watak-watak ini bercakap secara jujur mengenai apa yang remaja 15 tahun lalui setiap hari, iaitu ubungan, jantina berlawanan, ibu bapa, sekolah, impian dan cita-cita,” katanya dalam rancangan Live with Regis and Kathie Lee pada 1998.

Van Der Beek meneruskan peranan itu sehingga siri berkenaan berakhir pada 2003, sekali gus melonjakkan namanya sebagai idola remaja awal 2000-an.

Mendiang Van Der Beek membintangi lebih 60 filem dan siri televisyen (TV). Antara watak filem terkenalnya adalah sebagai pemain bola sepak Mox dalam Varsity Blues (1999) serta pengedar dadah Sean Bateman dalam The Rules of Attraction (2002). – REUTERS

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *