Kuala Lumpur: Filem The Voice of Hind Rajab kini mencetuskan fenomena apabila berjaya mencecah 39,000 jumlah tontonan setakat ini.

Kejayaan memberangsangkan itu dikongsi oleh Zainal Rashid Ahmad (ZRA) yang menyifatkan sambutan terhadap naskhah ini sebagai satu kejutan luar biasa, sekali gus membuktikan karya serius mengenai sejarah perjuangan mampu berdiri sebaris dengan filem ‘box office’ yang lain.

Menurut ZRA, sokongan padu pada hari ke-9 hingga ke-11 tayangan meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk memintas Belgium sebagai negara ketiga dengan jumlah penonton tertinggi bagi filem itu.

“Kejutan paling besar ialah apabila kita terima 3,000 tontonan pada Jumaat, diikuti 7,400 pada Sabtu dan lebih 5,000 orang pada Ahad lalu.

“Kita tak pernah menjangkakan filem kemanusiaan boleh berada dalam kumpulan kutipan box office. Ini bukti pasaran Malaysia sangat berpotensi untuk genre sebegini, bukan hanya tertumpu kepada hiburan semata-mata,” katanya.

Menjelang minggu hadapan, momentum tontonan dijangka terus meledak dan berpotensi mencecah sasaran 80,000 penonton seiring dengan kesedaran awam yang semakin meningkat.

Diterbitkan oleh Mime Films dan Tanit Films dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai pengedar rasmi, filem arahan pengarah tersohor Tunisia, Kaouther Ben Hania ini menampilkan barisan pelakon antarabangsa mantap seperti Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury.

Lebih bermakna, setiap sokongan anda adalah satu sumbangan. Sebagai simbol empati, Media Prima akan menyumbangkan RM1.00 bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Filem yang menyentih jiwa dan emosi ini ditayangkan di 51 lokasi pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *