Kuala Lumpur: “Kebanyakan filem saya memang ‘burst’ (terlebih hari) pun sebab saya belajar daripada abang saya (Syamsul Yusof). Ramai orang cakap abang saya shooting lamalah, terlebih harilah, apa kan.
“Tapi abang saya selalu cakap kat saya, ‘orang tak kisah apa jadi dekat shooting, orang tak kisah berapa lama shoot, orang nak tahu best ke tak best’.”
Demikian kata pengarah Syafiq Yusof yang kini sedang mengarahkan filem terbaharunya, Black Ops bersama pengarah dari Hong Kong, Chui Tze Yiu.
Syafiq, 33, berkata dia sering teringat abangnya yang selalu menitipkan pesanan berharga buatnya.
“Katanya (Shamsul), kalau kau shoot 10 hari jadi nombor satu pun, orang tak akan kisah. Bukan pasal itu orang nak pergi tengok wayang, orang nak tengok wayang pasal cerita kau best.
“Itu satu pendirian yang saya belajar daripada abang saya. Jadi kalau saya boleh buat benda itu bagus dalam 10 hari, saya buat.
“Tapi kalau benda itu memerlukan lebih masa, kita terpaksa. Filem itu lebih penting daripada berapa hari kita shoot,” katanya.
Syafiq bagaimanapun mengakui keadaan itu juga akan membabitkan kos yang tinggi dan akan memeningkan bapanya, Datuk Yusof Haslam selaku penerbit filem-filem arahannya.
“Tapi nasib baik dia pun pengarah filem dan dia fahamlah. Tapi of course kena berdebat dulu dengan dia, tapi last-last dia akan faham bila saya akan explain kenapa kena tambah.
“Macam filem Sheriff dulu pun asalnya shooting 50 hari, saya ‘push’ sampai terlebih jadi 81 hari. Blood Brothers asalnya 45 hari, ‘push’ sampai nak dekat 70 hari.
“Tapi semua itu bersebab. Kalau ikutkan, saya boleh saja nak siapkan cepat. Maksudnya nak habis shoot 45 hari, jadi 45 hari saya siapkan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dia tidak boleh memberi jaminan dari sudut kualiti dan pelbagai aspek filem itu.
“Jadilah kan… janji asalkan filem siap. Satu orang cakap bagus. Nanti nak tayang, sejuta orang nak tengok. So saya rasa kena utamakan penontonlah.
“Macam Blood Brothers ada 4.6 juta penonton tengok. Semua hati lain-lain, semua orang background lain-lain. Semua orang akan tengok pasal dekat panggung wayang tu gelap, hanya ada mata orang dan gambar saja.
“Satu budaya penonton Malaysia ini, dia orang akan cari kesalahan. Mana kesalahan? Kali pertama tengok itu cari kesalahan dulu. Tak ada, baru tengok kali kedua nak enjoy,” katanya.
Black Ops menampilkan barisan nama popular iaitu Sharnaaz Ahmad, Hisyam Hamid, Datuk Aaron Aziz, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, MK K-Clique, Raja Afiq, Benjamin Tan, Ken Law (Super Ken) dan Sean Lin.
Turut ditampilkan ialah Mathni Razak, Balan Kash, Ahirine Ahirudin, Azman Hassan dan Rania Amanda.