McDonald’s Malaysia atau Mekdi menjalin kerjasama strategik bersama TV3 menerbitkan drama TikTok berjudul FYP Macam VIP yang mengetengahkan realiti bekerja serta peluang membina karier bersama jenama terbabit.
Pengarah Kanan Jenama McDonald’s Malaysia, Azman Mohammad berkata, antara objektif utama projek itu adalah mendekati golongan Generasi Z (Gen Z) yang paling aktif menggunakan TikTok demi menyampaikan mesej terhadap jenama itu.
“Di Mekdi, kebanyakan daripada 16,000 tenaga kerja kami terdiri daripada Gen Z yang kini hidup dalam dunia digital di mana hiburan dan maklumat berada di hujung jari mereka. Jadi, ini satu cara kami mendekati mereka dengan lebih relevan melalui platform yang mereka suka.
“Mekdi adalah tempat di mana mereka boleh mengasah kemahiran, membina keyakinan dan mengembangkan kerjaya mereka. Menerusi drama FYP Macam VIP, kami mahu golongan Gen Z dapat mesej serta boleh kaitkan diri mereka dengan jalan ceritanya.
“Cara kami menyampaikan pun bukan secara ‘hard sell’. Kami gunakan platform ini untuk jadikan ia lebih santai, relaks dan ada unsur hiburan,” katanya pada majlis apresiasi FYP Macam VIP di McDonald’s – Pantai Sentral Park DT, kelmarin.
Azman berkata, adalah sangat penting untuk jadikan drama terbabit cukup realistik kerana tuntasnya, gambaran serta cerita benar dalam kalangan Gen Z kala ini boleh mencapai matlamat itu.
Penampilan empat terajunya, Rykarl Iskandar, Zaki Yamani, Mia Sara Nasuha dan Serra Kamal pun sangat bertepatan memandangkan semua mereka berada dalam lingkungan generasi terbabit.
“Jalan ceritanya lebih mesra dan seperti sedang bercerita secara langsung kepada penonton berbanding kisah yang tak boleh dikaitkan dengan hidup mereka. Dan kami harap dengan cerita ini nanti akan lebih ramai sertai kami menjadi kru,” katanya.

Seiring jenamanya yang sangat mesra dan disayangi masyarakat, Mekdi sentiasa menitikberatkan kebajikan serta bersama membina pengalaman perjalanan karier krunya ke tahap tertinggi.
FYP Macam VIP adalah siri TikTok yang mengangkat kisah ‘adulting’ menerusi persahabatan, pengalaman harian dan pencarian makna dalam alam pekerjaan, disampaikan secara santai, namun penuh pemerhatian.
Siri terbitan Layar Lucida serta diarahkan Junaidah Mohd Nor dan Syahnur Asyikin Kee Charles ini berdurasi dua hingga tiga minit, sebanyak enam episod.
Ia ditayangkan secara eksklusif di platform TikTok rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat bermula kelmarin, setiap Rabu hingga Khamis, jam 9 malam.
Menggabungkan elemen ‘podcast’ dan sitkom dalam format segar, kisah ini mengikuti perbualan sahabat lama yang menempuh fasa peralihan ke alam dewasa. Setiap episod mengupas isu-isu kecil kehidupan seharian.
Empat sahabat iaitu Alif lakonan Rykarl, seorang pekerja McDonald’s yang mesra dan suka membantu; Faris (Zaki) suka menunjuk kepandaian serta paling serius mengendalikan podcast; Alia (Mia Sara), matang dan berpendidikan; serta Farah (Serra) yang kekok dalam pergaulan dan sangat terikat dengan alam digital.
Menariknya, latar pekerjaan Alif di McDonald’s hadir secara semula jadi dalam jalan cerita, memperlihatkan bahawa cabaran hidup tidak semestinya bercanggah dengan komitmen kerja.
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, pekerjaannya tetap menyediakan sokongan, kemudahan, fleksibiliti dan peluang perkembangan, menjadikannya pengalaman penting dalam perjalanan membina masa depan.