Tirai 2026 dibuka dengan pelancaran drama Viu Original terbaharu berjudul ‘Kelas Belakang’, sebuah karya berunsur inspirasi yang mengangkat perjuangan pelajar dalam menepis stereotaip negatif dalam sistem pendidikan.
Drama 12 episod berkenaan memaparkan realiti pelajar dalam kelas tercorot yang sering dipandang remeh, dipinggirkan dan dinilai berdasarkan label semata-mata, bukannya berdasarkan potensi sebenar mereka.
Dalam sistem pendidikan yang menilai pelajar hanya berdasarkan gred, pelajar Kelas 5 Fikir sering dianggap tidak mempunyai harapan, malas dan ada juga yang dilabel berbahaya.
Namun, segalanya berubah apabila Iman Kirana lakonan Amylia Aidura, pelajar terbaik sekolah itu, menawarkan diri untuk menjadi tutor kepada mereka demi mendapatkan biasiswa universiti berprestij.
Apa yang bermula sebagai langkah strategik dirancang rapi, akhirnya berubah menjadi sesuatu lebih bermakna apabila Iman mula mengenali personaliti sebenar di sebalik setiap label diberikan kepada pelajar terbabit.
Kelas Belakang menampilkan barisan pelakon muda berbakat antaranya Amylia, Zairi Aziz, Farihin Arnia, Areef Amran, Faha Azhar, Ryliana Azizan, Arfie Shah dan Myra Afrina yang menghidupkan watak masing-masing dengan lakonan berjiwa dan penuh keaslian.

Pengurus Viu Malaysia, Eric Siew berkata, drama bersiri Kelas Belakang melambangkan semangat platform penstriman itu yang berani, relevan dan menyentuh emosi.
“Ini bukan sekadar drama sekolah menengah, tetapi kisah tentang mempercayai diri sendiri apabila dunia sudah pun menetapkan siapa anda.
“Kami mahu mengetengahkan cerita yang mencerminkan realiti dan cabaran anak muda masa kini serta mengingatkan penonton bahawa kejayaan tidak ditentukan di mana anda bermula, tetapi sejauh mana anda sanggup melangkah ke hadapan,” katanya.
Drama ini diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad dikenali sebagai Labu dan diterbitkan oleh Independent Pictures mula ditayangkan sejak 8 Januari lalu dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.