TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.’ Itulah peribahasa paling tepat menggambarkan permulaan karier seni penyanyi Amir Jahari ketika menyertai Akademi Fantasia musim sembilan (AF9), awal-awal dulu.

Amir atau nama sebenar penuhnya Mohamad Amirullah Jahari, 33, tidak pernah berhasrat pun mencuba nasib dalam program realiti nyanyian kegilaan ramai itu. Dia pun sebenarnya hampir tidak hadir ke sesi uji bakatnya.

Komposer dan penyanyi asal Kuching, Sarawak ini sekadar hadir menemankan seorang teman baiknya yang dipanggil Wan ketika program berkenaan diadakan pada 2011. Dia enggan kecewakan Wan yang bersungguh mengajaknya.

“Pada pagi uji bakat itu, saya sedang sibuk membersihkan halaman kediaman kami dan buat kerja rumah. Saya nampak Abang Wan bersiap-siap segak sebelum dia mengajak saya teman ke uji bakat AF9.

“Sebenarnya saya tolak dua kali ajakannya, namun beralah kali ketiga dengan permintaannya untuk menemani dia. Adab hormat yang lebih tua, saya akur dan ikut saja,” katanya.

Penyanyi Hasrat itu ‘terjebak’ juga mencuba nasib apabila sudah alang-alang berada di lokasi uji bakat. Mengejutkan, rupanya rezeki ternyata menyebelahinya sehingga berjaya lepas semua pusingan.

Menurut Amir, dia terpaksa ‘ditinggalkan’ dengan pasukan produksi Astro sehingga lewat malam gara-gara masih melalui banyak proses lain. Dalam pada tak nak, rupanya tuah sudah tertulis buatnya.

“Tidak sangka, Abang Wan pula yang tidak lepas dan saya berjaya kesemua pusingan. Memang sampai lewat malam kena tunggu semua proses selesai dan hanya bertemankan kru di sana,” katanya.

Selain Amir, AF9 turut disertai penyanyi Hazama, Ayda Jebat, Nera, Erul Samah, Fina Jebat, Kay, Afif, Raqib, Lena Haidir, Azri, Mika, Eka, dan Laika. Amir tersingkir pada minggu ketiga bersama Ayda Jebat.

Bagaimanapun, sisi kehidupan peribadi Amir bukan seindah orang lain sebelum dan selepas AF9. Selama satu setengah tahun, dia menetap di rumah wakaf Zawiyah di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Dia yang menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ketika itu terpaksa mencari tempat berteduh sewaktu cuti semester. Wanlah orangnya yang menawarkan dia tinggal saja di sana.

Tidak berkemampuan menyewa bilik di mana-mana, Amir tidak berfikir panjang menerima pelawaan itu. Seboleh-bolehnya, dia cuba berusaha berdikari tanpa bergantung dengan keluarga di kampung halaman.

“Nak balik Sarawak, saya memang tiada duit beli tiket penerbangan dan enggan menyusahkan orang tua. Mujur teringat Abang Wan yang memang sudah cakap awal, apa-apa cari dia.

“Saya memang tak sangka rupanya tempat tinggal itu adalah rumah wakaf. Alhamdulillah, ramai juga orang Sarawak pun menumpang di sana selain warga negara asing antaranya dari Pakistan. Jadi taklah rasa janggal,” katanya.

Amir bersyukur ada hikmahnya juga dia tinggal di situ kerana hari-harinya diisi dengan banyak aktiviti kerohanian atau tarekat. Baginya rumah itulah juga menjadi saksi permulaan hidupnya menjadi anak seni.

AMIR tinggal rumah wakaf kerana enggan susahkan keluarga.
AMIR tinggal rumah wakaf kerana enggan susahkan keluarga.

“Kami ada amalan yang dilakukan pada setiap malam Khamis selain majlis zikir. Sejujurnya, saya memang bersyukurlah dipertemukan orang baik-baik dan diisi dengan aktiviti harian yang bermanfaat,” katanya.

Pada masa sama, anak keempat daripada enam beradik ini turut mencari wang saku dengan mengadakan aktiviti ‘busking’ di beberapa lokasi sekitar ibu kota. Rutinnya sebagai pemuzik jalanan bermula jam 5 petang hingga jam 5 pagi.

ESOK: Tidak tahu berdepan gangguan halus selama 10 tahun.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *