Kuala Lumpur: Penyanyi meningkat naik, Umairah, 14, menyifatkan peluang beraksi di Konsert Legacy 30 Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari depan sebagai pencapaian terbesar dalam karier nyanyiannya.
Umairah atau nama sebenarnya, Ummi Umairah Saiful Anuar mengakui gementar untuk berkongsi pentas dengan nama-nama besar pada konsert mega dengan jangkaan penonton seramai 63,000 orang itu.
“Saya berasa gementar kerana bakal berkongsi pentas dengan artis-artis yang hebat pada usia 14 tahun dan ini satu memori yang indah. Saya tak pernah terfikir akan sampai pada tahap ini dan anggap ia rezeki selepas berhijab.
“Pada masa sama, saya juga berada pada tahap ini semuanya kerana sokongan Mak Iti (panggilan Siti Nurhaliza), ibu saya dan keluarga,” katanya.
Umairah berkata demikian pada sidang media Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Hemisfera Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, anak saudara Siti Nurhaliza itu berkata, buat julung kalinya dia akan beraksi di pentas besar seperti Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Saya tak pernah beraksi di stadium dan ia kali pertama dalam karier nyanyian.
“Sebelum ini, saya pernah menjayakan konsert bersama dengan penyanyi Hafiz Suip di Megastar Arena dan dengan Mak Iti pula di Arena of Stars, Genting Highlands,” katanya.
Mengulas dakwaan dirinya menjadi artis jemputan dalam konsert mega itu kerana statusnya sebagai anak saudara Siti Nurhaliza, kata Umairah, perkara itu tidak dapat dielakkan.
“Bagi saya benda (artis jemputan) tu tak boleh nak elak sebab Mak Iti memang emak saudara saya dan nak buat macam manakan?
“Saya tak kisahlah perkara (dakwaan) itu. Apa yang penting, saya nak buktikan apa yang Mak Iti cakap yang dia nampak kebolehan saya dan saya pun nak buktikan pada semua boleh berdiri sendiri,” katanya.
Selain Umairah, tiga lagi artis jemputan konsert Siti Nurhaliza ialah penyanyi terkenal dari Indonesia, Cakra Khan serta Hafiz Suip dan Noh Salleh sekali gus bakal menyemarakkan konsert mega terbabit.
Untuk rekod, Umairah baru dinobatkan sebagai Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37, baru-baru ini.
Umairah juga artis di bawah naungan SN Legacy Sdn Bhd bakal menyampaikan dua lagu duet bersama Siti Nurhaliza pada konsert berkenaan.