Penyanyi meningkat naik, Syafeek Ikhwan, 37, menafikan penampilan dirinya yang tidak berbaju, bertatu dan berada dalam tab mandi adalah gimik murahan untuk mempromosikan single terbaharunya berjudul Pernah Mati-Matian.

Menurut Syafeek, ia adalah penyampaian artistik yang menggambarkan detik paling rapuh serta keadaan hilang diri sendiri yang pernah dilaluinya.

“Apabila seseorang berada dalam fasa paling gelap dalam hidupnya, tiada apa lagi yang boleh disorok.

“Visual itu ialah metafora kepada keadaan saya pada waktu itu. Ia perlu ‘raw’ dan jujur supaya audiens benar-benar merasai apa itu ‘Pernah Mati-Matian’,” kata juara program Lagu Cinta Kita Musim ketiga pada 2021.

Mengenai tatu di badan pula, kata penyanyi yang pernah menyertai program Big Stage Alpha 2025 ini, tatu yang kelihatan hanyalah elemen seni semata-mata dan bukannya tatu sebenar.

Katanya, dia sentiasa sedar dan menjaga batas sebagai seorang Muslim ketika berkarya.

“Pemilihan tab mandi pula bukanlah keputusan yang dibuat sekadar mahu menimbulkan sensasi.

“Ruang tab mandi sebagai simbol fasa diri saya yang berasa seperti tenggelam, hanyut, lemas dan hampir hilang identiti.

“Malah, melodi lagu ini sendiri disempurnakan ketika saya mengasingkan diri di dalam bilik mandi selama lebih tiga jam,” katanya.

SYAFEEK harap single terbaharu dapat sambutan.
SYAFEEK harap single terbaharu dapat sambutan.

Mengulas kecaman yang diterima di media sosial, Syafeek mengakui bahawa reaksinya kini jauh lebih matang berbanding beberapa tahun lalu.

Katanya, gambar promosi lagu itu juga sudah mencapai hampir 100,000 ‘engagement’ di platform X dan menunjukkan karya itu mula mendapat perhatian ramai.

“Orang berhak memberi pandangan. Saya hanya mahu pastikan lagu ini sampai kepada pendengar.

“Fasa saya terkesan dengan hentaman netizen sudah berlalu. Dengan sokongan keluarga dan peminat setia ‘GengSyafeek’, saya lebih kuat sekarang,” katanya.

Sementara itu, single Pernah Mati-Matian adalah karya ciptaan Syafeek sepenuhnya dan dilancarkan pada penghujung November lalu.

Katanya, single Pernah Mati-Matian tercetus daripada pengalaman benar mengenai fasa di mana dia cuba membantu seseorang yang berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil.

“Sepanjang tempoh itu, saya berusaha sedaya upaya untuk menjadi sistem sokongan yang terbaik.

“Namun, sebaik sahaja individu itu pulih, kehadiran orang lain membuatkannya tersisih dan dilupakan.

“Kisah itu akhirnya diterjemahkan dalam bentuk lagu yang membawa kelukaan tetapi dalam masa sama menjadi terapi untuk dirinya,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *