Kuala Lumpur: Pengarah filem Syurga Dalam Botol, Ebi Kornelis memaklumkan membuat permintaan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk melanjutkan tayangan filem terbabit di pawagam di Semenanjung Malaysia.
Ebi, 42, ketika dihubungi berkata, perkara itu diusulkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib selepas mendapati ramai yang belum sempat menontonnya di pawagam.
“Di Semenanjung, saya cuma dapat 47 pawagam sahaja iaitu di Lembah Klang dan Johor Bahru. Filem Syurga Dalam Botol ditayangkan selama seminggu serentak dengan tayangan di Sabah.
“Sekarang masih ada beberapa pawagan masih tayangkan antaranya di TGV Wangsa Walk, GSC Mid Valley, TGV Bukit Tinggi dan TGV Central I-City, manakala di Johor Bahru ada dua tempat.
“Publisiti filem ini lambat sampai kepada penonton di Semenanjung, hanya selepas seminggu baru orang Semenanjung mula mahu ambil tahu pasal filem ini,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, penonton menyedari kehadiran filem ini apabila ramai penggiat filem dan golongan akademik yang menonton Syurga Dalam Botol memberikan komentar di media sosial.
“Seniwati Fauziah Ahmad Daud, Sobri Anuar, U-Wei datang menonton, baru orang mula nak ke pawagam tapi sudah terlambat kerana banyak pawagam tak tayang lagi filem ini.
“Jadi saya ada minta kepada CEO FINAS, kalau boleh mahu tayang balik dekat GSC IOI Mall Putrajaya. Sebenarnya banyak orang cari, tapi itu di luar kemampuan kami
“Sebenarnya, kami pun tiada bajet untuk promosi, malah pawagam pun kami dapat tidak banyak. Itu pun nasib saya ‘fight’ minta tambah, mula-mula dia bagi 25 pawagam sahaja, tapi lepas ‘fight’ dapat 47 pawagam,” katanya.
Ebi berkata, masalah ini tidak berlaku di Sabah apabila semua pawagam masih menayangkan filem berkenaan seperti biasa.
“Sekarang kutipan keseluruhan ialah RM1.7 juta. Sambutan orang Sabah memang dahsyat kerana menyokong filem ini. Sekarang ia sudah atasi rekod Sabah Film yang terbitkan Azura pada 1984.
“Kalau saya tidak silap, ada data dari seorang kawan yang buat ‘story’, masa itu kutipan Azura RM1 juta sahaja. Rasanya zaman itu sama macam zaman sekarang.
“Tapi zaman sekarang lagi susah, untuk dapat kutipan macam itu. Iyalah dengan keadaan sekarang yang ada macam-macam persaingan, kutipan ini sudah kira bagus,” katanya yang menghasilkan filem ini menerusi dana First Time Amateur Filmmaker (FAME) yang diberikan FINAS.