Kuala Lumpur: Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menyokong cadangan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil untuk melaksanakan Hari Muzik Negara sebagai usaha memberi pengiktirafan kepada penggiat muzik tanah air.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, inisiatif berkenaan adalah langkah ditunggu sejak sekian lama oleh pemuzik, komposer, penyanyi, tenaga teknikal dan seluruh warga industri muzik tempatan.

“Ini bukan sekadar sambutan simbolik, tetapi satu titik mula, satu kick-off penting untuk terus memartabatkan industri muzik negara.

“Kita tidak perlu menunggu suasana industri benar-benar sempurna untuk melaksanakannya kerana Hari Muzik Negara boleh menjadi pemangkin untuk mendidik rakyat tentang nilai muzik dan merakyatkan muzik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pengiktirafan itu akan membantu masyarakat menghargai sumbangan pemuzik serta mewujudkan suasana lebih positif dan bersemangat dalam ekosistem muzik tanah air.

“Hari Muzik Negara ibarat hari raya buat seluruh penggiat muzik, dari artis sehinggalah pelajar, tenaga pengajar serta institusi pengajian tinggi yang menawarkan jurusan muzik.

“Ia adalah satu bentuk penghargaan dan motivasi kepada semua yang menjadikan muzik sebagai kerjaya dan perjuangan hidup,” katanya.

Freddie berkata, KARYAWAN komited dan percaya dengan pelaksanaan Hari Muzik Negara, Malaysia bakal mempunyai satu platform rasmi yang dapat menghimpunkan suara industri.

“Ia meningkatkan kesedaran terhadap hak dan royalti, serta memperkukuh peranan muzik sebagai komponen penting dalam ekonomi kreatif negara.

“Mengambil contoh Hari Sukan Negara, ia berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum melalui aktiviti kesukanan. Sudah terlalu lama kami menantikan inisiatif ini.

“KARYAWAN menyokong penuh dan bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk memastikan Hari Muzik Negara menjadi kenyataan,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *