Bagi penyanyi dan anggota kumpulan A To Z, Norazlan Abdul Aziz atau Lann, perjalanan hidupnya tidak pernah lurus dan mudah.

Di sebalik wajah tenang dan senyumannya di pentas, tersimpan kisah perjuangan seorang anak yang berdepan dengan penentangan keluarga, terutama bapanya sendiri demi mengejar impian bergelar penyanyi.

“Saya ada kongsikan di bahagian awal mengenai abah saya yang tidak merestui saya menjadi penyanyi.

“Tapi pada suatu hari, saya dapat tawaran untuk buat persembahan dalam rancangan Bintang HMI bersama kumpulan 4U2C,” katanya.

Namun, di sebalik peluang besar itu, hatinya tidak tenang hingga hubungan dengan bapa renggang bertahun-tahun lamanya.

“Saya asyik berfikir, sampai bila saya hendak renggang dengan bapa, dua hingga tiga tahun saya tak balik beraya sebab takut.

“Dia memang marah betul. Orang Jawa ini memang garang. Kampung pun di Rawang sahaja, tapi saya tetap tak balik sebab takut,” katanya.

Dalam diam, kasih terhadap keluarga tidak pernah padam walaupun dia sudah mula berada di puncak populariti.

“Dalam ketakutan itu, saya jumpa adik saya secara senyap-senyap dan beri tiket untuk ke Bintang HMI. Saya pesan, ‘berikan tiket ini kepada mak dan abah, manalah tahu kalau mereka nak datang’.

“Waktu saya sedang menyanyi atas pentas, saya nampak abah datang. Dia pakai kot, duduk di tempat penonton. Rupanya selama ini saya takut dengan dia, tapi sebenarnya dia bangga dengan saya,” katanya.

Katanya, bapanya bukan jenis yang pandai menunjukkan kasih sayang, namun kehadiran orang tua itu di acara penting hidupnya menjadi detik paling menyentuh hati.

“Bila saya nampak abah, mak dan adik-adik, rasa terperanjat dan nak menangis. Dalam dia tak bagi, tapi sebenarnya dia sudah beri restu,” katanya.

Selepas persembahan itu, hubungan keluarganya kembali pulih dan pada Hari Raya Aidilfitri berikutnya, dia pulang ke kampung sekali gus diraikan dengan penuh mesra.

“Kawan-kawan abah pun bercerita macam mana dia bangga bila tengok saya keluar di TV. Itulah pengalaman yang saya tak sangka,” katanya.

Namun, di sebalik kejayaan, Lann tidak menafikan ada fasa kejatuhan yang meninggalkan kesan mendalam.

“Yang tak seronok bila kontrak kami dengan Sony Music tamat. Ada kumpulan lain terus berjaya sampai sekarang, tapi kami melalui satu fasa nak cari diri, fasa nak tanggalkan topeng, nak jadi manusia biasa macam orang lain,” katanya.

Lann mengakui kehidupan selepas zaman popular bukan satu proses mudah.

“Orang luar tak tahu, kami bukan orang kaya. Waktu itu memang banyak duit, dapat kumpul lebih RM1 juta. Tapi itu duit ‘terkejut’ dan habis begitu saja. Pengalaman itu terlalu cepat,” katanya.

Lebih malang, dia membuat beberapa keputusan besar dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya kahwin awal, umur 27 waktu tu, tahun 1998. Sony Music pun marah bila tahu saya nak kahwin. Tapi perkahwinan itu tak kekal. Saya degil, gelojoh, tak nak dengar cakap orang. Itulah darah muda,” katanya.

Kehidupan selepas popular membuatnya hampir hilang arah sehinggakan dia pernah ‘melarikan diri’ buat seketika.

“Saya lalui fasa peralihan daripada hidup popular ke kehidupan biasa. Nak jadi ‘normal’ semula bukan mudah. Sampai saya rasa nak separuh gila, pernah lari ke Jakarta, Indonesia dan menetap di sana selama dua tahun.

“Setiap kali berjumpa orang, soalan yang paling sukar dihadapinya ialah, ‘Tak buat album lagi ke?’ Soalan itu biasa, tapi waktu itu saya tak mampu nak jawab,” katanya.

Selepas kontrak dengan Sony Music tamat, dia cuba membuka syarikat penerbitan, namun tersasar daripada dunia muzik.

“Saya buat majalah, bukan muzik. Di situlah silapnya. Kekecewaan saya bukan sebab muzik, tapi sebab perniagaan. Jatuh. Duit RM1 juta lebih habis,” katanya.

Katanya, untuk bangkit semula bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi tanpa sokongan syarikat pengurusan.

“Tapi A To Z tak pernah berpecah. Sampai sekarang, kalau ada tawaran, kami tetap pergi. Bila umur makin meningkat, hati pun makin reda,” katanya.

Menurut Lan, 2025 membawa sinar baharu dalam hidupnya dan hadir bersama pelbagai rezeki.

“Saya anggap tahun ini tahun terbaik. Banyak rezeki masuk. Tengah buat siaran langsung di TikTok, tiba-tiba kawan hubungi dan tawarkan kerja di syarikatnya,” katanya.

Kini, Lann menjadi duta kepada sebuah syarikat pembinaan, selain menjadi hos siaran langsung di media sosial untuk mempromosikan produk mereka.

“Siapa sangka, dulu saya artis Sony Music, sekarang saya pula buat kerja siaran langsung. Tapi saya bersyukur, kerana rezeki itu datang dalam pelbagai cara,” katanya.

Walaupun kini lebih aktif dalam bidang pengacaraan majlis dan promosi, jiwa seninya tidak pernah padam.

“Saya masih menyanyi, jadi DJ di acara-acara, pengacara majlis dan buat pelbagai kerja lain. Bila jiwa dah reda, fikiran pun terbuka. Kalau tahu lebih awal, dah lama saya buat semua ni sebab banyak cabang rezeki,” katanya.

Katanya, pengalaman hidup membuatkannya lebih matang dan menghargai setiap peluang yang datang.

“Dulu saya fikir, ‘Apa nak jadi dengan aku ni?’. Tapi rupa-rupanya itu salah, sepatutnya cari jalan, bukan berhenti.

“Pernah juga rasa malu dengan diri sendiri, tapi sekarang tak kisah pun buat kerja khidmat sistem audio, angkat pembesar suara dan sebagainya,” katanya.

Bagi Lann, selagi rezeki halal dan datang daripada usaha sendiri, dia tidak akan malu.

“Rezeki tak pernah putus. Saya sudah lalui fasa susah, jadi bila ada rezeki sekarang, saya tak rasa gah. Saya cuma rasa syukur,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *