KUALA LUMPUR: Bekas penyanyi, Ina Naim, 41, memberi keizinan kepada anak lelakinya, Ehmad Hadie Elfardie Mohd Suhaimi, 17, menceburi bidang seni termasuk lakonan asalkan setiap langkah diatur dengan berhati-hati.

Bagaimanapun, Ina atau nama sebenar, Nordiana Mohd Naim menegaskan beliau tidak melepaskan tanggungjawab sebagai ibu dan pengurus kepada Hadie dengan menapis setiap tawaran agar tidak menjejaskan imej serta batas agama.

“Hadie baru masuk industri seni, tiba-tiba jadi popular. Dia sendiri tidak sedar, tapi kita yang lama dalam dunia seni tahu, bukan semua orang suka.

Ina memberi keizinan kepada Hadie untuk menceburi bidang seni termasuk lakonan asalkan setiap langkah diatur dengan berhati-hati. Foto NSTP/Aziah Azmee
Ina memberi keizinan kepada Hadie untuk menceburi bidang seni termasuk lakonan asalkan setiap langkah diatur dengan berhati-hati. Foto NSTP/Aziah Azmee

“Zaman dahulu dan sekarang jauh berbeza, jadi saya kena lebih berhati-hati. Sebagai ibu dan pengurus, saya takkan lepaskan dia keluar seorang diri. Karakter ‘manager’ dan ibu berbeza, saya kena lebih tegas,” katanya kepada BH Online.

Ina berkata, beliau bersyukur apabila niatnya mahu memperkenalkan Hadie ke dunia lakonan mendapat sambutan baik apabila menerima tawaran daripada syarikat produksi, Jaja Ishak Channel (JIC).

“Selepas habis program realiti baru-baru ini, Alhamdulillah rezeki Hadie makin banyak. Tak sangka pula, Jaja Ishak Channel tawarkan filem pendek. Dalam filem itu, Hadie akan bergandingan dengan anak kepada Datuk Seri Aliff Syukri, Qadejah El Zahra atau Cess.

“Ramai pengikut di TikTok minta dia berlakon, tetapi, saya tak terima sembarangan. Kena tapis dulu supaya tak menyesal pada kemudian hari. Saya kenal Jaja sejak arwah suami, Suhaimi Saad, masih hidup lagi, jadi saya yakin dengan produksi mereka,” jelasnya.

Ina turut menegaskan hanya akan menerima tawaran lakonan yang menepati syariat serta menjaga maruah keluarga.

“Saya akan pantau semua tawaran. Kalau ada adegan bersentuhan, buka aurat dan yang boleh menimbulkan fitnah, saya akan tolak.

“Kalau perlu ubah skrip, saya akan bincang. Contohnya, kalau ada adegan mandi, bukan Hadie yang lakonkan. Selagi tak libatkan aurat, saya okay,” katanya yang mahu anaknya dikenali kerana bakat, bukan kisah sensasi.

Hadie mengakui lebih cenderung ke arah dunia lakonan meskipun mula dikenali melalui program realiti nyanyian.

“Saya dan ibu dah bincang pro dan kontra dunia hiburan ini. Selepas timbang, kami ambil keputusan untuk cuba.

“Saya lebih minat berlakon, tetapi saya tahu bakat saya pun ada dalam nyanyian. Di rumah pun selalu berlakon dengan ibu, jadi apabila ada peluang, saya cuba,” katanya yang aktif menerima tawaran lakonan baharu.

Sementara itu, Jaja berkata, tawaran kepada Hadie dibuat berdasarkan potensi serta sambutan hangat yang diterima selepas program realiti baru-baru ini.

“Kami nampak potensi Hadie, jadi kami tawarkan projek filem pendek berjudul Antara Dua Darjat.

“Cerita ini mengangkat kisah cinta dua insan berlatar belakang berbeza yang ditentang keluarga. Filem ini akan ditayangkan di platform media sosial sebelum akhir November,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *