Kuala Lumpur: “Dia memahami kerjaya saya dan bertahan ketika saya susah,” kata pelakon Hanis Kamal Bakar mengulas ketabahan isteri yang setia berada di sisinya dalamn mengharungi kepayahan hidup.

Hanis atau nama sebenarnya, Muhammad Hanis Kamaruldzaman, 36, berkata cabaran paling getir dilalui ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila dirinya hilang mata pencarian.

“Zaman itu semua orang goyang, tapi dia (isteri) boleh bertahan dengan saya. Kita ini pelakon bukannya bekerja tetap, kalau ada tawaran adalah duit, tapi kalau tak ada, nak buat macam mana?

“Alhamdulillah, dia orang yang boleh bertahan dengan saya. Kami berkahwin pada 2017 ketika usia saya 27 tahun, manakala isteri, Dian Kamal pula sudah berusia 37 tahun.

“Saya perasan sejak kahwin, kurang ‘job’, tapi saya anggap rezeki masing-masing. Dalam hal ini, saya berfikiran positif, di mana kita jangan cemburu dengan rezeki orang,” katanya kepada Harian Metro.

Hanis yang mempunyai dua anak tiri perempuan berusia 21 dan 13 tahun serta anak lelaki, Muhammad Tuah Danish, 5, hasil perkahwinan dengan Dian berkata, kali terakhir dia berlakon kira-kira empat tahun lalu.

“Saya berlakon telefilem Kayuh dengan RTM. Selepas itu sudah tak ada tawaran lagi, tak ada rezeki kot… belum ada lagi. Tak tahulah nak kecewa atau apa?

“Sebab saya faham industri kita ini kecil, sedangkan pemainnya ramai. Jadi saya anggap belum rezeki sayalah, atau mungkin juga orang-orang dalam industri bertukar ganti.

“Dulu Pengurus Produksi akan ‘call’ untuk bagi tawaran, tapi lepas PKP mereka dan pengarah pun ramai yang dah bertukar, mungkin itu salah satu faktor,” katanya.

Hanis yang menetap di Melaka pernah bergelar pemenang kategori Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2010 menerusi drama Denai Berbisik, selain Pelakon Pembantu Terbaik Lelaki Anugerah Tribute P Ramlee menerusi telefilem Miang Buluh Keladi Birah pada 2013.

Menurutnya, selepas menang anugerah itu, dia banyak juga ditawarkan peluang berlakon.

“Cuma selepas PKP macam teruk, sebelum PKP saya masih lagi ada tawaran walaupun tak banyak. Bila sudah mula kurang job, saya ikhtiarlah cari peluang lain dengan berniaga.

“Sekurang-kurangnya ada juga rezeki daripada terus menunggu. Saya jual sambal kapitan dan sambal penyek hasil air tangan isteri secara dalam talian dan di TikTok.

“Sebelum itu saya jual jelly detox dan jelly jamu wanita. Bisnes sambal baru bermula selepas Ramadan lalu dan Alhamdulillah, sambutannya menggalakkan,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *