Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah, Erma Fatima, 56, mendoakan agar pasangan Fattah Amin, 35, dan Amira Othman, 32, kekal hingga ke syurga, namun hantaran video dimuat naik di media sosial menjadi perhatian ramai.
Dalam hantaran berlatarkan lagu Ketika Cinta Bertasbih itu, kebanyakan pengguna media sosial berasa sebak dengan ucapan kasih sayang tulus Erma terhadap Fattah dan Amira.
Menurut Erma, dia sebenarnya mahu membuat video sedih dan lucu mengenai pertunangan serta perkahwinan, namun bertukar sebaliknya apabila tidak mampu menahan sebak apabila melihat pasangan pengantin itu.
“Niat hati aku nak buat video sedih, joke (jenaka) tunang kahwin tapi sesungguhnya aku memang sebak melihat mereka. Terima kasih Allah… kau hantar seorang insan yang dapat memberi cinta sejati buat dia.
“Pelihara cinta mereka hingga ke Jannah dengan asma Ya Rahman… Ya Rahim. Amira jaga anak saya itu baik-baik ok… mama sayang kamu berdua,” tulis Erma dalam hantarannya.
Meninjau di ruangan komen Instagram (IG), kebanyakan netizen terhibur dan menyifatkan Erma memang betul-betul sangat sayang kepada Fattah yang dianggapnya sebagai anak.
“Kebanyakan orang lain semua pesan Fattah jaga Amira baik-baik. Tapi yang ini pesan Amira jaga Fattah. Moga bahagia mereka sampai Jannah,” komen wargamaya.
“Kak Erma ni nampak dia sayang betul pada Fattah ni… betul la kan orang baik ramai sayang.. sebak baca wish Kak Erma ni,” tulis seorang netizen.
“Aduh Kak Erma kenapa kupas bawang pukul 1 pagi ni. Ucapan ni nampak simple tapi dalam sangat..terus rasa sebak,” ujar warganet
“Sebak, saya doakan Fattah dan Amira kekal bahagia hingga syurga.. amin..,” kata seorang pengguna media sosial.
Terdahulu, Fattah dan Amira selamat disatukan dalam majlis akad nikah di Sepang, Selangor, pada 14 September lalu selepas beberapa bulan mereka menjadi ‘teman sekerja’.