Maran: Program Malam Untukmu Gaza, Kilauan Semantan Harapan Gaza di Bandar Pusat Jengka, di sini, malam tadi menyerlahkan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin akibat ditindas kekejaman rejim Israel.
Pada program itu, aktivis kemanusiaan yang juga penyanyi dan pelakon Datin Seri Nur Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani turut tampil di pentas bagi berkongsi pengalaman menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza, baru-baru ini.
Dalam perkongsian penuh emosi itu, Heliza menyatakan pengalaman mereka berdua diuji dengan kehausan dan ketakutan ketika ditahan dalam penjara Israel selama beberapa hari.
“Kami langsung tidak dibenarkan makan dan minum lebih 24 jam. Hanya air dari sinki tandas itulah yang kami minum sambil berdoa agar Allah jadikan air itu seperti air zam-zam,” katanya menahan sebak.
Menurutnya, ujian paling berat yang dialaminya apabila dilarang memakai stoking ketika hendak menunaikan solat.
“Bagi orang lain mungkin remeh, tetapi bagi saya ia maruah dan prinsip seorang Muslimah.
“Saya menangis hingga tentera lelaki yang melihat turut tersentuh dan menghulurkan air sambil menyebut La ilaha illallah,” katanya.
Sementara itu, Hazwani pula berkata, pengalaman ditahan di laut dan dipisahkan daripada kakaknya mengajar mereka makna sebenar perjuangan.
“Kami sedar perjuangan rakyat Palestin jauh lebih berat daripada apa yang kami lalui. Sebab itu kami mahu terus menyampaikan kisah ini agar masyarakat tidak berhenti bersuara untuk Gaza,” katanya.
Program anjuran Emas Sri Semantan Sdn Bhd dengan kerjasama Cinta Salam Malaysia dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengamit kehadiran 2,000 pengunjung.
Hadir sama, Pengerusi Emas Sri Semantan selaku penganjur program, Mohamad Hafizal Mahmood,
Ia turut menampilkan pelbagai pengisian rohani dan kemanusiaan termasuk persembahan kumpulan nasyid legenda Raihan.
Selain itu, pendakwah terkenal Datuk Wan Helmi Wan Mohamed atau Maulana Helmi dan Dr Sam juga menyampaikan tazkirah bagi memberi ingatan kepada umat Islam supaya tidak melupakan penderitaan saudara seagama di bumi Gaza.
Sebagai kemuncak, Heliza dan Hazwani turut menyampaikan lagu sebagai tanda solidariti buat rakyat Palestin, disambut laungan ‘Free Palestine’ oleh hadirin.
Sementara itu, Mohamad Hafizal berkata, program diadakan bagi menyatukan masyarakat melalui sumbangan kecil, namun diharap mampu memberi impak besar kepada rakyat Palestin.
Menurutnya, pihaknya turut melancarkan E-Gold Coin, syiling emas edisi khas sebagai simbol solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin, di mana sebahagian hasil jualan akan disalurkan ke tabung bantuan Gaza.
“Kita mungkin tidak mampu berjuang di medan perang, tetapi sumbangan dan sokongan moral juga satu bentuk perjuangan,” katanya.