Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein berkongsi rasa terharu selepas menyertai misi bantuan banjir di Taiping, Perak.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, berkata dia yang mengikuti pasukan bantuan dari Mydin Malaysia turut memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya, dia berasa sangat terharu ketika menghulurkan sumbangan kerana ada antara mereka yang tidak berhenti-henti mengucapkan terima kasih.

“Saya baru sahaja selesai mengikuti misi bantuan banjir di Taiping. Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, Taiping kini dijadikan sebagai pusat penempatan sementara (PPS).

“Saya pergi bersama pasukan Mydin Malaysia membawa sumbangan dan Datuk Ameer Ali selaku Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd turut hadir bagi mengagihkan barangan keperluan.

“Antaranya, selimut, telekung, sejadah dan sebagainya termasuklah makanan dan air mineral,” katanya kepada Harian Metro.

Lebih menyentuh hati ibu kepada dua cahaya mata itu apabila melihat mangsa banjir dalam kalangan kanak-kanak dan bayi.

“Anak-anak turut diraikan bagi menggembirakan hati mereka. Alhamdulillah, saya selesai menyalurkan bantuan itu. Sebahagian mangsa sudah pulang ke rumah untuk membersihkan kediaman, manakala sebahagian lagi masih berada di PPS.

“Ada juga bayi baru berusia lima hari ditempatkan di PPS. Dimaklumkan, terdapat lebih kurang 100 orang masih berada di PPS kerana ramai mula pulang secara berperingkat untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Saya berdoa semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan kesabaran kepada mereka dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Elly juga berharap agar bantuan yang ingin disalurkan dapat disampaikan dengan segera kepada mangsa banjir terbabit.

Selain Taiping, beberapa daerah di Perak termasuk Manjung dan Larut, Matang dan Selama turut terjejas akibat banjir.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *