Kuala Lumpur: Dua ikon berpengaruh di Malaysia, Diana Danielle dan Joe Flizzow menerima pengiktirafan pada Karnival Usahawan Muda ASEAN ke-10 2025 atas sumbangan luar biasa dalam menggabungkan kreativiti, keusahawanan dan impak sosial.

Majlis Usahawan Muda ASEAN (AYEC) dalam kenyataan memaklumkan Diana menerima anugerah Pencipta Kandungan dan Persembahan Terbaik, manakala Joe Flizzow dinobatkan sebagai Usahawan Hip Hop Terbaik.

Pengiktirafan ini atas kejayaan mereka dalam menyatukan semangat seni dengan kecemerlangan perniagaan sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi kreatif baharu di rantau ASEAN.

Pengerusi AYEC 2025 merangkap Pengerusi Pengasas ASEAN Young Women Entrepreneurs Club (AYWEC) Deborah Melissa Bottreau berkata, Diana dan Joe melambangkan semangat generasi baharu ASEAN yang berani, kreatif dan berpandangan global,

“Mereka membuktikan bahawa budaya dan perniagaan boleh berjalan seiring dalam mencetuskan perubahan serantau,” katanya.

Kedua-dua mereka menerima anugerah berkenaan pada Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah Usahawan Muda ASEAN di MATRADE Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.

Perasmian dilakukan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli.

Turut hadir, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan isteri Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.

Diana menerima pengiktirafan atas transformasinya daripada bintang layar perak kepada usahawan kreatif pelbagai platform.

Komitmennya dalam menghasilkan kandungan bermakna dan autentik memberi inspirasi kepada jutaan pengikut serta mengetengahkan isu sosial dan kesihatan mental yang dekat di hatinya.

Sementara, Joe Flizzow pula atas visi dan kepimpinannya dalam membentuk landskap muzik urban Malaysia serta mengangkatnya ke pentas serantau.

Melalui Kartel Records, program bimbingan dan kerjasama rentas negara, Joe terus memperkasa ekonomi kreatif Asia Tenggara.

Bermula 10 tahun lalu sebagai platform kecil inovasi belia, karnival ini kini berkembang menjadi antara perhimpunan paling dinanti-nantikan.

Sambutan malam itu bukan sekadar meraikan kejayaan dalam dunia perniagaan dan seni, tetapi juga menyampaikan mesej yang jelas.

Masa depan ekonomi ASEAN bukan hanya pada teknologi dan perdagangan, tetapi juga pada kekuatan penceritaan, kreativiti dan budaya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *