Kuala Lumpur: Pelakon meningkat naik, Jazmy Juma, 27, mengakui dia sudah memiliki teman istimewa tetapi belum bersedia untuk mendedahkan identitinya kepada umum.
Pelakon baharu yang pernah dikaitkan dengan Scha Elinnea dan pempengaruh Kasih Iris Leona itu berkata, teman istimewanya itu hanya orang biasa dan tidak terbabit dalam industri seni tanah air.
“Si dia bukan rakan artis atau terbabit dalam industri seni.
“Memang kami ada merancang untuk ke fasa lebih serius. Insya-Allah, kalau nak kahwin nanti, saya akan umumkan pada semua,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas pengumuman calon Top 10, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37) dan jumlah undian diterima penganjur dalam siaran langsung program hiburan sensasi Melodi di Balai Berita, di sini.
Ditanya kenapa dia terbuka berkongsi sisi peribadinya itu, kata Jazmy, dia percaya peminat sekarang sudah bijak menilai bakat seseorang artis itu.
“Mungkin ramai artis kat luar sana tak nak kongsi soal teman istimewa dan mereka nak rahsiakan tapi saya pula rasa tak patut kerana kesian pada pasangan.
“Saya juga banyak belajar dengan artis dari Indonesia, kalau bercinta mereka lebih terbuka untuk kongsi dan peminat tetap beri sokongan,” katanya.
Mengenai ABPBH37, Jazmy berkata, dia gembira dan bersyukur kerana tersenarai dalam Top 10 dan berada dalam kelompok artis popular tempatan.
Dalam kategori, Artis Baharu Lelaki Popular, Jazmy bersaing dengan calon Top 10 iaitu Zarif Ghazzi, Aizat Saha, Daniesh Suffian, Evertts Gomes, Muhsin Nadzli, Apich Lo, Arul Rasheed, Hazeed Dean dan Najmi Niery.
Mengulas namanya disebut-sebut bakal memenangi kategori itu di samping saingan sengitnya, pelakon Zarif Ghazzi, pelakon yang dikenali dalam drama Nuh & Nayla dan Hilang Dalam Rindu di TV3 itu hanya serah pada rezeki.
“Semua calon disenaraikan semuanya hebat. Saya mahu bersaing secara sihat dan mahu semua calon Top 10 yang disenaraikan juga berjaya dalam karier seni masing-masing.
“Soal kalah atau menang, biarlah peminat yang menilai dan mengundinya nanti,” katanya.