Kuala Lumpur: Penyanyi Siti Saerah bersyukur dengan keputusan Umairah, 16, untuk bertudung sekali gus memohon doa yang baik-baik agar anak perempuannya kekal istiqamah dengan perubahan itu.
Menurut Saerah, Umairah sendiri menyatakan sudah bersedia untuk bertudung dan dia semestinya sangat menyokong meskipun tahu proses terbabit memerlukan masa.
“Alhamdulillah. Doakan ya. Atas kerelaan hati dia. Bila dia bertudung itu, dia rasa dia tenang saja. Saya sebagai ibu rasa bersyukurlah. Alhamdulillah kerana dia mengambil keputusan untuk bertudung.
“Cumanya dia tak nak umum apa-apa, dia nak perlahan-lahan sajalah. Kita mendoakan Umai supaya dia kuat kan. Tak ada sebab tertentu, dia sendiri rasa dia dah bersedia untuk bertudung,” katanya.
Tambah Saerah, dalam beberapa hari kebelakangan ini, Umairah memang bersungguh memakai tudung jika ingin keluar atau ke mana-mana.
“Tempoh hari, saya bertanya dengan kakak (Umairah) kalau sudah bersedia nak bertudung dan dia iyakan. Jadi okaylah, itu keputusan dia. Saya bersyukurlah, benda baik kan?” katanya.
Saerah mengakui sebak dan mendoakan Umairah atau nama sebenarnya Ummi Umairah Saiful Anuar terus kuat menghadapi cabaran dengan penampilan terbarunya itu.
“Pastinya sebaklah kan. Kadang-kadang kita tak tahu, salah satu daripada doa semua tu diangkat, diterima di atas. Jadi Alhamdulillah kan. Itu yang saya sebagai ibu inginkan semua mendoakanlah untuk dia,” katanya.
Baru-baru ini, Umairah berkongsi dirinya memakai tudung di media sosialnya hingga menarik perhatian ramai di mana rata-rata memujinya sangat cantik dengan penampilan baharu itu.