Kuala Lumpur: “Kalau boleh bincang, bawalah berbincang elok-elok,” kata pemain gitar Search, Noordin Mohd Taib mengulas isu pengunduran dua bekas anggota Wings iaitu Eddie dan Black, dari kumpulan legenda terbabit.
Tanpa berniat mencampuri urusan Wings, Noordin atau Din berkata, satu kerugian kerana Wings sudah lama bertapak iaitu 40 tahun dan mempunyai peminat yang ramai.
“Sayang, band pun dah lama. Tapi kalau dah itu keputusan mereka, apa nak kata. Kita hanya boleh tengok dan lihat sahajalah tanpa fikir yang bukan-bukan.
“Mungkin mereka kena duduk semeja dulu sebelum buat apa-apa keputusan. Datuk Awie pun tak boleh disalahkan kerana bukan dia yang keluarkan mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Din berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu Radio Klasik di sini, bagi mempromosi Konsert Fenomena Samurai yang menggandingkan Search dan XPDC.
Konsert yang menggandingkan Search dan XPDC ini akan berlangsung pada 13 Disember di Stadium Sarawak, Kuching.
Turut hadir dalam temubual ini ialah adiknya, Kid dan anggota XPDC iaitu Lola (pemain dram) dan Mamu (vokalis).
Menurut Din, hanya Eddie dan Black tahu punca sebenar pengunduran mereka dari Wings dan orang luar tidak perlu membuat spekulasi yang bukan-bukan.
“Cuma mereka dah lama bersama dan kenal hati budi masing-masing. Harapan saya, kalau boleh mereka
bawalah ke meja perbincangan. Buka hati masing-masing.
“Kena fikir hari pertama mereka bersama tubuhkan Wings. Saya rasa banyak lagi isu yang sebelum ini yang berat-berat, mereka boleh kendalikan.
“Sebenarnya saya pun masih lagi terkejut dengan berita ini. Dia kena ada keharmonian antara mereka. Lagipun selama ini orang nampak keakraban mereka seperti satu keluarga,” katanya.
Din berkata, sekiranya bertemu mereka berdua, dia akan bercakap perkara sama iaitu berbincang elok-elok sebelum membuat sesuatu keputusan.
Terdahulu, Eddie (pemain bass) dan Black (dram) mengejutkan industri hiburan tanah air apabila membuat kenyataan mengundurkan diri dari Wings pada 8 Oktober lalu.
Pengumuman ini dibuat ketika Wings sedang melakukan persiapan untuk ‘Konsert Wings 40 Tahun Celebration’ yang dijadualkan berlangsung pada 28 November serta 24 Disember di Singapura.