KUALA LUMPUR: Pelakon meningkat naik, Lorenzo Irmann, menganggap pencalonannya dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-37, sebagai rezeki besar yang tidak disangka.

Lorenzo atau nama penuhnya Lorenzo Irmann Farhan@Caddeo Paolo, 21, berkata, dia hanya mengetahui mengenai pencalonan itu menerusi media sosial.

“Sebenarnya, saya baru tahu beberapa hari lalu selepas ternampak satu hantaran di TikTok yang minta orang undi saya.

“Saya tengok dan macam, ‘eh, itu saya!’,” katanya ditemui pada majlis pelancaran butik Rizman Ruzaini di Suria KLCC di sini, baru-baru ini.

Pelakon drama Rampas Cintaku 2 itu mengakui terkejut, namun berasa amat bersyukur kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap itu, apatah lagi masih baharu dalam industri seni.

Lorenzo bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi untuk mara ke peringkat akhir ABPBH 37, sebaliknya, menyerahkan segalanya kepada rezeki. Foto NSTP/Ahmad Ukasyah
Lorenzo bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi untuk mara ke peringkat akhir ABPBH 37, sebaliknya, menyerahkan segalanya kepada rezeki. Foto NSTP/Ahmad Ukasyah

“Saya tak sangka boleh sampai ke peringkat ini. Alhamdulillah, walaupun baru, ini antara pencapaian paling bermakna buat saya,” ujarnya.

Lorenzo bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi untuk mara ke peringkat akhir, sebaliknya, menyerahkan segalanya kepada rezeki.

“Kalau ada rezeki, syukur alhamdulillah. Kalau tidak, saya reda sahaja. Saya tahu saya belum ada peminat seramai artis lain,” katanya berseloroh.

Tambahnya, selepas mengetahui dirinya tercalon, dia tidak segan meminta bantuan keluarga dan saudara mara untuk mengundi sebagai tanda sokongan.

“Saya terus beritahu keluarga dan sepupu untuk bantu undi. Sekurang-kurangnya mereka tahu saya betul-betul hargai peluang ini,” kata pelakon berdarah kacukan Melayu-Itali itu.

Mengulas mengenai persaingan dalam kategori disertainya, Lorenzo mengakui semua calon lain mempunyai kelebihan dan daya tarikan tersendiri.

“Saya tengok semua hebat-hebat. Ramai juga antara mereka kawan saya sendiri dan sudah lebih berpengalaman serta ada pengikut yang ramai.

“Jadi ,bagi saya, mereka semua memang layak menang,” katanya merendah diri.

Bagi Lorenzo, peluang tercalon dalam anugerah berprestij itu dianggap suatu penghormatan besar dalam perjalanan awal karier seninya.

“Mungkin bagi sesetengah orang ABPBH nampak kecil, tapi bagi saya ia sangat besar dan bermakna.

“Sebagai pelakon baharu, dapat lihat nama sendiri tersenarai pun sudah cukup buat saya terharu,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *