Dalam kalangan peserta Dewi Remaja 2025, nama Sharmaine Alexander antara paling mencuri perhatian bukan sahaja kerana kejelitaan dan keyakinannya di hadapan kamera, tetapi latar belakangnya yang unik.
Siapa sangka, Sharmaine ialah seorang bakal peguam yang melangkah berani untuk menempatkan diri dalam dunia hiburan.
Berusia 25 tahun dan berasal dari Sabah, Sharmaine kini menjalani tempoh ‘pupillage’ atau lebih dikenali sebagai ‘chambering’, satu tempoh latihan sebelum layak menjadi peguam bertauliah.
“Saya akan habis pada November ini, barulah saya akan dapat lesen untuk bekerja sebagai peguam,” katanya.
Namun, di sebalik kesibukan dunia guaman, Sharmaine membabitkan diri dalam pertandingan Dewi Remaja 2025, platform yang menjadi batu loncatan kepada ramai wajah baharu dalam industri hiburan tanah air.
“Saya akui memang sukar untuk membahagikan masa antara kedua-duanya. Jadual saya sangat padat, tapi saya bersyukur kerana bos saya sangat menyokong.
“Sejak awal saya beritahu mengenai hasrat untuk sertai Dewi Remaja dan minat saya dalam bidang seni, dia mendorong saya untuk teruskan.
“Dia kata tak ada istilah berhenti, habiskan chambering, jadi peguam, kemudian teruskan cita-cita jadi artis. Kata-kata itu buat saya bersemangat semula,” katanya.
Lebih menarik, Sharmaine bukan sahaja mempunyai impian menjadi peguam dan artis, malah dia juga bercadang menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).
“Saya nak jadi seseorang yang boleh berjaya dalam banyak bidang. Kalau satu hari nanti saya jadi pensyarah atau peguam sepenuh masa pun, saya tetap boleh berlakon. Dunia seni tetap dekat dengan jiwa saya,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kecenderungan dalam bidang seni, Sharmaine tanpa teragak-agak menjawab bahawa lakonan menjadi pilihannya.
“Saya memang minat berlakon. Saya tahu bakat saya masih perlu diasah, tapi saya berani mencuba dan ia kelebihan saya. Kalau bidang undang-undang saya ceburi sebab saya boleh, tapi seni saya pilih sebab saya mahu,” katanya.
Dalam kalangan pelakon tempatan, Sharmaine mengagumi perjalanan seni Anna Jobling.
“Saya suka cara Anna mendaki tangga kejayaan perlahan-lahan. Walaupun bukan juara Dewi Remaja, tapi dia buktikan yang kerja keras mampu bawa seseorang ke tahap antarabangsa. Ia sangat memberi inspirasi,” katanya.
Menyentuh soal keluarga, Sharmaine bersyukur kerana mereka sangat memahami.
“Keluarga saya dari Sabah datang ke Kuala Lumpur untuk beri sokongan. Mereka tak halang, malah dorong saya ke depan,” katanya.
Namun, Sharmaine menyedari bahawa dunia hiburan bukan sekadar mengenai glamor dan populariti tetapi datang bersama kecaman dan cabaran.
“Saya sedar perkara itu. Sekarang pun, sudah ada komen-komen negatif, tetapi saya tak ambil hati. Saya tahu siapa diri saya, keluarga dan kawan-kawan pun kenal siapa saya. Itu sudah cukup,” katanya.
Sharmaine mengakui antara kecaman paling kerap diterimanya ialah mengenai rupa paras.
“Ada yang kata saya nampak tua, tapi saya gelak saja. Bagi saya, kalau seseorang itu cukup yakin dan sayang pada diri sendiri, kata-kata orang tak akan menggugat kita,” katanya.
Baginya, self-love adalah kunci utama untuk kekal kuat dalam industri ini.
“Kalau tak sayang diri, kita akan mudah marah atau melenting bila orang bercakap buruk mengenai kita. Tapi bila kita kenal diri sendiri dan yakin dengan kemampuan, kita akan teruskan saja perjalanan tanpa terganggu,” katanya.
Apabila ditanya sama ada menyukai populariti, Sharmaine tidak menafikan perkara itu, namun dia bukan seorang yang gila glamor.
“Saya suka populariti yang membawa manfaat. Populariti datang bersama peluang kerja dan kalau ada kerja, saya boleh terus hidup dan dapat bawa keluarga datang ke Kuala Lumpur.
“Kalau betul-betul gila glamor, saya sudah buat kerana ceburi bidang ini sejak usia 18 tahun lagi, tapi saya pilih untuk utamakan pelajaran dulu. Bila sudah rasa stabil dan matang, barulah saya berani ke depan,” katanya.