Kuala Lumpur: Pelakon Liyana Jasmay mengingatkan pengkritik filem agar berhati-hati dengan komen awal mereka terhadap sesebuah filem yang baharu ditayangkan di pawagam.
Liyana, 37, berkata, pengkritik sepatutnya bersikap membina dalam memberi kritikan dan tidak mematikan minat penonton untuk datang ke pawagam.
“Kritikan boleh dilakukan selepas satu atau dua minggu filem ditayangkan. Kalau nak komen selepas itu okey.
“Tapi jangan tak bagi langsung peluang kepada penonton untuk menonton filem ini terlebih dahulu di pawagam. Ia sesuatu yang tak bagus.
“Kalau awal-awal lagi dah kondem, tak ada siapa yang akan datang menonton nanti. Ia sesuatu yang menyedihkan,” katanya.
Liyana berkata, kritikan teruk ini akan merebak kepada semua pihak sekali gus mematikan hasrat mereka untuk ke pawagam.
“Penonton Malaysia hanya menilai filem sebagai best atau tak best, jadi jangan terus menafikan peluang orang untuk menonton.
“Saya juga seorang pembikin filem. Sudah tentu saya nak semua filem yang ditayangkan akan dapat sambutan dan maju.
“Ini saat yang paling menguji buat semua penggiat industri. Kita kenalah bersatu sokong filem-filem kita. Beri sokongan kepada filem tempatan,” katanya.
Liyana kini tampil menerusi filem Qifarah arahan Ghaz Abu Bakar. Dia melakonkan watak Eyka, adik kepada Yusoff lakonan Remy Ishak..
Filem terbitan Skop Productions, My Way Pictures, Astro Shaw dan Primeworks Studios sebagai syarikat pemasaran ditayangkan di pawagam sejak 9 Oktober lalu.